Harith: Kemenangan saya atas sokongan rakyat Malaysia

Harith,-funniest-comedian,-Laugh-Factory

PETALING JAYA: Sokongan rakyat Malaysia banyak membantu dalam kemenangan pelawak Harith Iskandar sebagai individu paling lucu di dunia.

Harith berkata hanya rakyat Malaysia sebagai orang luar negara yang hadir di tengah-tengah penonton Finland menonton persembahannya dalam pertandingan “Laugh Factory’s Funniest Person in the World” (LFFPITW) di Helsinki, Finland, baru-baru ini.

Katanya, sokongan kira-kira 30 penonton Malaysia yang mengibarkan Jalur Gemilang turut membakar semangatnya, di samping limpahan ucapan dan kata-kata selamat daripada rakyat Malaysia di tanah air.

“Kebanyakannya yang hadir di situ orang Finland. Tetapi ada sekumpulan rakyat Malaysia dari kedutaan, kira-kira 30 orang.

“Ketika saya naik pentas, semua bendera keluar. Pelawak yang buat persembahan selepas saya pun tanya, mana jumpa rakyat Malaysia semua ni?

“Di bahagian penonton, hanya rakyat Malaysia yang datang menyokong pelawak mereka,” katanya pada sidang akhbar sejurus selepas tiba di tanah air pagi tadi.

Harith memperoleh markah tertinggi berbanding 20 pelawak dalam pertandingan itu yang diadakan di Hulli Polo Arena di Levi, Finland.

Beliau menewaskan 4 pelawak lain di peringkat akhir, menyaksikan tempat kedua dimenangi Alex Calleja dari Filipina, diikuti Katerina Vrana (Greece), Mino Van Nassau (India) dan David Kilimnick (Israel).

Harith selepas ini akan menjelajah ke Amerika Syarikat membuat persembahan, sebagai sebahagian daripada hadiahnya.

“Saya perlu bawa gaya komedi Malaysia di sana. Saya rakyat Malaysia, saya hendak tinggal di sini, tetapi saya mahu bawa bahagian lawak Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Saya akan cuba beri persembahan untuk sesiapa dari mana-mana pun, boleh faham dan ketawa,” katanya.

Pada masa sama, Harith menggalakkan pelawak muda untuk keluar dan mula membuat persembahan kerana katanya, lawak ialah satu bentuk seni yang perlu diasah secara terbuka untuk ruang penambahbaikan.

“Komedi ialah seni yang memerlukan anda ke atas pentas depan orang ramai. Anda tidak boleh berlatih di rumah depan cermin, atau perakam video. Anda perlu berdepan dengan orang ramai.

“Jadi berani. Jadi diri sendiri. Guna suara sendiri,” katanya.

Harith berkata pelawak Malaysia juga perlu selesa dengan gaya tersendiri dan tidak cuba jadi orang lain.

“Jangan jadi orang lain. Jika anda membesar di kampung, jangan cuba dan bercakap macam orang bandar. Jadi siapa diri anda,” katanya.

PAUTAN: 

Saya mahu satukan dunia guna humor gaya Malaysia, kata Harith Iskander