Idea PKR-Amanah bercantum pramatang, kata setiausaha agung

Idea PKR-Amanah bercantum pramatang, kata setiausaha agung

Amanah harus diberi ruang dan peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka, kata Saifuddin Nasution

Datuk-Saifuddin-Nasution
PETALING JAYA:
Cadangan agar Amanah dan PKR bercantum bagi menyelesaikan isu pengagihan kerusi pilihan raya dianggap pramatang.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata parti harus beri ruang dan peluang kepada Amanah untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Beliau menjawab Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin semalam yang mencadangkan agar kedua parti bercantum, susulan ketegangan yang berpunca daripada perebutan kerusi PRU14 antara parti pembangkang.

“Saya menghormati pandangan Dr Afif. Cumanya, saya anggap idea percantuman itu sebagai idea yang pramatang,” katanya kepada FMT.

Amanah, yang ditubuhkan September tahun lepas, meminta kerusi Parlimen Batu, yang kini dipegang Naib Presiden PKR Chua Tian Chang @ Tian Chua, diserahkan kepada mereka.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan berkata PKR mungkin sukar mengekalkan kerusi itu tanpa bantuan PAS, justeru partinya yang dilihat sebagai parti Islam alternatif wajar mengambil alih.

Rundingan antara parti pembangkang, yang cuba untuk memastikan perlawanan 1 lawan 1 menentang BN, dijangka berdepan cabaran apabila pengundi Melayu menjadi rebutan antara PKR, Amanah, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pertandingan 3 penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan Amanah dan PAS tumpas di tangan Barisan Nasional.

Amanah pada konvensyen parti 11 Disember lalu menggesa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali memecat semua ahli PAS dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri kerana PAS menyukarkan Amanah menembusi negeri itu.

Pautan:

PKR cadang bergabung dengan Amanah

Amanah tiada keperluan bergabung dengan PKR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.