
Beliau tidak bersetuju dengan pandangan pakar mata wang yang berkata ringgit yang lemah tidak baik bagi negara ini, dengan berkata kejatuhan nilai mata wang bukan satu perkara buruk.
Beliau memberi contoh krisis kewangan 1997 apabila ringgit Malaysia menjunam daripada RM2.50 kepada RM3.80 berbanding dolar AS. Kerajaan kemudian menambatnya pada RM3.80.
Kejatuhan nilai ringgit menyaksikan negara merekodkan lebihan dagangan yang tinggi, kata Tan pada sidang media di sini selepas menghadiri Pertemuan Pemimpin Perniagaan Times-Asia, acara 2 hari untuk menggalakkan hubungan perniagaan India-Malaysia.
“Apabila ringgit pada RM2.50 kepada AS$1, kita mempunyai defisit perdagangan. Selepas ia ditambat pada RM3.80, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan.
“Ia bermakna kita mempunyai banyak simpanan. Tiada defisit perdagangan. Defisit bermakna kita perlu meminjam. Negara ini lakukan dengan baik apabila mata wang negara mengalami susut nilai.
“Jadi, walaupun mata wang turun kepada lebih RM4 (kepada AS$1) sekarang, ia adalah baik bagi pengeksport.
“Sememangnya, barangan akan jadi lebih mahal. Kita akan membeli sedikit barangan yang mahal. Kita akan kurang berbelanja. Kita mengeksport lebih banyak.
“Kita akan mempunyai lebih banyak simpanan dalam negara. Kita akan mempunyai lebihan dagangan. ”
Beliau berkata mereka yang akan merasakan kesannya adalah ibu bapa yang mempunyai anak belajar di luar negara.
“Mereka perlu berbelanja lebih disebabkan kadar pertukaran mata wang itu.”
Perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan menambat ringgit semasa krisis kewangan Asia pada 1997.
Pada masa itu, beliau mengakui ia idea “paling berbahaya” pernah dilaksanakan dan bertentangan dengan logik akal serta alasan yang boleh diterima.
Ringgit Malaysia kini berada pada tahap RM4.44 berbanding AS$1.
Pakar ekonomi tempatan berkata, penurunan nilai ringgit mungkin memberi kesan kepada industri automotif, syarikat penerbangan dan sektor kuasa serta telekomunikasi.
Beberapa pihak lain pula berkata, kelemahan mata wang sebenarnya boleh menjadi rahmat terselindung dalam jangka masa panjang kerana barangan yang dikilang di Malaysia mungkin lebih murah dan akan menjadikan negara lebih berdaya saing.