
Wakil kumpulan itu, Mohammad Azmi Othman, 55, ketika ditemui Bernama berkata satu perbincangan diadakan dan kesemua jemaah bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Ini bagi membolehkan kami mendapat nasihat atau saranan daripada pihak peguam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya di sini, hari ini.
Meluahkan rasa kekecewaan terhadap maklum balas syarikat terbabit yang hanya memberitahu bahawa syarikat penerbangan sewa khas mereka belum mendapat permit kebenaran mendarat di Jeddah, Mohammad Azmi berkata kesemua mereka kini berasa hampa dan seolah diperdayakan.
“Kami seolah-olah diperdayakan…setiap kali tanya, kami dimaklumkan penerbangan tidak boleh mendarat. Itu sahaja jawapan yang diberi oleh pihak syarikat,” katanya.
Sehingga petang ini, kesemua jemaah tersebut masih lagi berada di sebuah hotel di Nilai, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusuf ketika ditemui pemberita selepas majlis meraikan pesara polis peringkat Kontinjen Negeri Sembilan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan isu tersebut.
“Setakat ini, saya tidak dimaklumkan tentang adanya laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak dalam kejadian ini… mereka bebas untuk membuat laporan polis di mana-mana (balai polis), tidak kira kes berlaku di mana,” katanya.
Media pada Isnin melaporkan kira-kira 200 jemaah umrah yang dijadual berlepas bagi mengerjakan umrah pada hari berkenaan terkandas selepas penerbangan mereka ditangguhkan berikutan permit kebenaran mendarat masih belum diperoleh syarikat penerbangan sewa khas itu.