
Menurut Ahmad, ia mampu dicapai dalam masa 5 tahun berdasarkan pencapaian terkini negara dan penjanaan ekonomi negara yang semakin membangun.
“Kita berkeyakinan dalam tempoh tidak lama, hasrat perdana menteri itu boleh dicapai. Ini berdasarkan 3 tumpuan kedudukan di dunia yang kita pantau dan diselenggara oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Pertama melihat kedudukan negara dalam ‘Ease of Doing Business Report’ daripada Bank Dunia menunjukkan Malaysia berada dalam kedudukan ke-23 daripada 190 negara.
“Ke-2, negara berada dalam kedudukan ke-19 terbaik daripada 61 negara dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2016 diterbitkan pusat daya saing dunia, Institute for Management Development (IMD).
“Ke-3, negara berada dalam kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi negara menerusi ‘Global Competitiveness Report’ melalui WEF,” katanya pada satu sidang media di Program Hari Produktiviti di Indkom Engeneering Sdn Bhd.
Katanya, tidak mustahil misi ini boleh dicapai sekiranya setiap agensi, syarikat dan rakyat berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan produktiviti kerja mereka.
“Saya juga menjangkakan Malaysia boleh menjana saiz ekonomi RM2 trilion dalam tempoh 5 tahun berdasarkan kepesatan projek pembangunan dilaksanakan.
“Antara projek seperti Pembangunan Iskandar, Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Jajaran Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia serta Lebuhraya Pan Borneo inilah yang akan menjadi penyumbang kepada RM2 trilion ekonomi itu nanti,” katanya.
Najib sebelum ini meletakkan impian besar untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik di dunia dalam tempoh 7 tahun.
Najib yang juga menteri kewangan berkata Malaysia boleh menjana saiz ekonomi RM2 trilion dalam tempoh 7 atau 8 tahun akan datang.
Beliau berkata, ekonomi negara yang kini mencecah RM1.3 trilion mampu ditingkatkan kepada RM2 trilion berikutan kepesatan projek pembangunan dilaksanakan.