Kerajaan tak terlibat batal jemputan Dr M, kata Zahid

Kerajaan tak terlibat batal jemputan Dr M, kata Zahid

Timbalan perdana menteri menggesa Dr Mahathir merujuk sendiri kepada pihak istana bagi mendapatkan penjelasan berhubung pembatalan jemputannya.

Zahid-Hamidi,-Dr-Mahathir-Mohamad,-Agong,-canceled-palace-invite.
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak terlibat dengan keputusan dibuat pihak istana berhubungan pembatalan jemputan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghadiri majlis angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sudah membuat semakan tentang arahan berkenaan dan mendapati ia dikeluarkan pihak Istana Negara.

“Ia tidak datang dari Pejabat Perdana Menteri (JPM). Ia di bawah pengurusan Istana Negara.

“Terdapat 7 orang yang terlibat. Bahagian istiadat hanya menerima titah bagi pembatalan itu. Jangan salahkan JPM. Kalau tidak berpuas hati, sila menghadap dan dapatkan penjelasan. Jangan salahkan orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen di sini hari ini.

Awal bulan ini, surat yang dihantar pihak istana bagi membatalkan jemputan yang dihantar sebelum itu kepada bekas perdana menteri berusia 91 tahun dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tersebar di laman media sosial.

Jemputan itu adalah bagi majlis melafaz sumpah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 pada 13 Disember.

Susulan itu, Dr Mahathir menerusi blognya mendakwa Istana Negara “kepunyaan” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional.

Apabila ditanya sama ada Umno merancang membuat laporan terhadap bekas perdana menteri itu kerana menghina institusi diraja, Zahid berkata “tidak ada keperluan untuk berbuat demikian”.

 

Jemputan Dr M dan isteri ke majlis lafaz sumpah Agong dibatalkan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.