Manivanan, Premalatha, Paramesvaran – usahawan India berjaya menurut Najib

najib-seedKUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata usaha kerajaan membantu masyarakat kaum India menghasilkan ramai usahawan berjaya.

Beliau berkata kejayaan itu bukan sekadar angka dalam carta di atas kertas, sebaliknya, beliau sendiri berjumpa dan mendengar kisah-kisah kejayaan mereka.

“Petang tadi selepas melancarkan MRT di Damansara, saya terus menuju ke Klang untuk melakukan lawatan dan bertemu dengan usahawan kecil dan sederhana kaum India daripada pelbagai latar belakang.

“Masing-masing dengan kisah kejayaan mengagumkan hasil usaha dan inisiatif kerajaan melalui Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India atau SEED di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya menerusi catatan terbaru di laman blog rasminya, najibrazak.com.

Najib berkata beliau memulakan lawatan dengan meninjau kilang pembuatan kabel Lotus Cable Industries Sdn Bhd, dan berbual dengan beberapa pekerja kilang tersebut.

najib-lawat

Menurut Najib, pengusaha kilang itu yang dikenali sebagai Manivanan ialah penerima dana bantuan daripada Bank SME di bawah Program Pencepat Perniagaan (BAP) yang berjaya mengembangkan perniagaannya selain menyediakan banyak peluang pekerjaan.

Selain itu dalam catatannya, perdana menteri turut berkongsi kisah seorang wanita, Premalatha yang merupakan seorang peniaga dan pembekal ikan yang dahulunya pekerja kilang sebelum mengorak langkah untuk mula berniaga di pasar malam.

Kata Najib, selepas latihan dan bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, Premalatha kini berjaya menjadi seorang usahawan dan mampu memiliki rumah sendiri, 2 buah kereta, motosikal serta mampu menghantar anaknya belajar di universiti.

“Banyak lagi kisah kejayaan yang dikongsikan mereka di sini, antaranya Jagabar Ali pengusaha restoran, A. Paramesvaran pengusaha perkhidmatan pendingin hawa, Pravin pengusaha hotel, Srithren usahawan gula-gula yang kini juga pemilik francais Marrybrown.

najib-lawat-2

“Kamani peniaga kacang puteh, Rajasegaran pembekal barangan perubatan, dan Patmanathan pengusaha perniagaan runcit. Semuanya berbeza namun menarik dan mengagumkan saya,” katanya.

Kata Najib, satu persamaan daripada kisah kejayaan ini adalah bagaimana mereka mendapat manfaat daripada usaha dan inisiatif SEED, melalui pelbagai program yang mereka sediakan dengan caj penyertaan cuma RM1.

Beliau menjelaskan SEED juga memainkan peranan sebagai pengantara, menunjukkan jalan dan memperkenalkan usahawan-usahawan ini dengan program dan bantuan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Bank SME, Amanah Ikhtiar Malaysia, MIDF dan banyak lagi.

Malah, katanya ada juga yang mampu menembusi pasaran lebih besar dengan memperolehi sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam catatannya itu, Najib turut memuat naik beberapa keping gambar ketika beliau mengadakan pertemuan dengan usahawan terbabit.