Periksa pengendali pakej umrah, kata agensi pelancongan

Periksa pengendali pakej umrah, kata agensi pelancongan

Syarikat yang menjadikan selebriti sebagai duta tidak semestinya kukuh dan mampu menganjurkan pakej umrah, kata pengurus agensi pelancongan.

umrah
KUALA LUMPUR:
Sebahagian besar jemaah yang ingin menunaikan umrah tidak memeriksa latar belakang syarikat dipilih kerana “terpedaya” dengan kehadiran tokoh agama atau selebriti sebagai pelaris, kata pengurus sebuah agensi pengelola umrah.

Muhammad Redzwan Abdul Aziz daripada Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd berkata, syarikat yang menggunakan golongan popular sebagai duta tidak semestinya kukuh dan mampu menganjurkan pakej umrah.

“Apabila tokoh agama dan selebriti menerima tanpa banyak soal dengan sejumlah bayaran, mereka diperalatkan syarikat tidak bertanggungjawab ini.

“Sedangkan apa yang lebih utama adalah syarikat di belakangnya kerana iabertanggungjawab menguruskan perjalanan. Sebab itu jemaah perlu periksa dahulu latar belakang syarikat berkenaan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Antara kriteria yang perlu dipastikan jemaah adalah syarikat tersebut memiliki lesen sebagai agensi pelancongan dan prosedur mendapatkan visa yang digunapakai.

“Ada syarikat tidak berstatus ‘muassasah’ dan mendapatkan visa daripada syarikat yang memiliki status itu. Justeru, pengumuman kerajaan melarang syarikat yang tidak mempunyai status ini daripada menawarkan pakej umrah adalah perkembangan baik,” katanya lagi.

Az-zuha antara syarikat yang menawarkan pakej umrah bersama tokoh agama popular seperti Zamri Zainuldin yang popular dengan rancangan “Mari Mengaji” dan Don Daniyal Don Biyajid.

Bermula 1 Oktober 2017, syarikat yang ingin menawarkan pakej umrah perlu memiliki lesen umrah khas.

Dalam sidang media hari ini, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengingatkan umat Islam berhati-hati dengan agensi pelancongan tidak berlesen yang menggunakan selebriti dan tokoh agama sebagai tarikan pakej umrah.

Pada 12 Disember lalu, sejumlah 200 jemaah Al Fajr Travel & Tours Sdn Bhd terkandas di Nilai apabila penerbangan mereka ditangguhkan akibat gagal mendapat permit mendarat daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.

Mengulas perkara itu, Redzwan berkata masalah tertentu memang berlaku seperti penerbangan ditangguhkan, tetapi syarikat terlibat perlu memaklumkan lebih awal kepada jemaah.

“Pihak kami akan memberitahu jemaah lebih awal agar mereka boleh ubah perancangan. Isu timbul apabila ada syarikat tidak berbuat demikian, sehinggalah jemaah sudah ke lapangan terbang dan terkandas di sana.

Pada sidang media sama, Mas Ermieyati juga memaklumkan kira-kira 2,000 jemaah ditipu syarikat yang menawarkan pakej umrah murah sepanjang tahun ini.

PAUTAN: 

Kementerian saran waspada pakej umrah guna selebriti, tokoh agama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.