PUTRAJAYA: Pembekal yang bertanggungjawab untuk Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) hari ini diberi amaran keras oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mengancam akan membatalkan kontrak sekiranya perkhidmatan mereka tidak dibaiki.
Menteri dalam negeri berkata imigresen tidak berpuas hati dengan hasil kerja pembekal ke atas sistem biometrik itu dan akan memberi tempoh untuk pembekal patuhi piawaian yang dipersetujui dalam kontrak.
“Kita akan tengok perjanjian dan rangka masa yang tercatat.
“Kita tidak akan panjangkan tempoh rangka masa itu kerana perkhidmatan kepada orang awam dan pelancong lebih utama,” katanya pada sidang media di ibu pejabat imigresen hari ini.
Zahid menjawab laporan The Malay Mail pada Mei, yang membongkar kepincangan myIMMS, selepas beberapa individu didapati masuk atau keluar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa rekod.
Ditanya sama ada imigresen boleh menuntut semula bayaran yang dibuat kepada pembekal, Zahid mengiyakan kerana kontrak perkhidmatan mempunyai klausa menyentuh perkara itu.
“Kita akan kenakan penalti sekiranya pembekal gagal capai piawaian yang dipersetujui.”
Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang diterbitkan bulan lepas mendapati myIMMS yang bernilai RM29.9 juta itu tidak seperti yang diharapkan.
Laporan itu turut menonjolkan kepincangan dalam pengurusan kontrak dan berkata bayaran penuh untuk sistem biometrik dan peralatan yang dinyahpasang dan tidak digunakan berjumlah RM10.3 juta sudah dibuat.