Zahid: Polis wajib jalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali

zahid-hamidi_polis_600

TELUK INTAN: Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib melakukan pemeriksaan saringan kesihatan setahun sekali, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengeluarkan pekeliling baharu yang mewajibkan anggotanya menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata, arahan itu bertujuan memastikan kesihatan fizikal dan mental anggota serta pegawai berada pada tahap terbaik untuk berkhidmat kepada negara.

Pada masa sama, Zahid turut menggalakkan anggota dan pegawai PDRM menjalani pemeriksaan kesihatan setiap 6 bulan.

“Sebelum ini anggota dan pegawai hanya digalakkan menjalani pemeriksaan setahun sekali,” katanya selepas melancarkan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan PDRM seluruh negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, hari ini.

Terdahulu, Zahid dalam ucapannya berkata, pemeriksaan saringan kesihatan kepada anggota dan pegawai PDRM adalah percuma.

“Secara perbandingan polis diberikan kebertanggungjawaban bertugas 24 jam. Apabila tugas berat dilaksanakan, ia memberi risiko kepada kesihatan fizikal dan kerohanian.

“Kedua-dua aspek ini harus diambil kepedulian oleh Bukit Aman, Kementerian Dalam Negeri secara keseluruhan. Akal yang sihat terletak pada badan yang sihat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Saujana Binaraya Sdn Bhd, Muhammad Faiz Abdullah yang menyediakan pemeriksaan kepada anggota unit beruniform itu berkata, saringan kesihatan merupakan fasa pertama bagi rawatan awal melibatkan lebih 80 penyakit kronik dan kerosakan organ.

“Kita dapati perkara ini sangat penting kepada polis kerana mereka adalah barisan hadapan menjaga keamanan negara,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/01/polis-montel-kena-kurus-untuk-sahkan-jawatan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/04/23/program-trim-and-fit-berjaya-tangani-masalah-polis-gemuk/