MPV terbabas ragut nyawa suami isteri, 5 anak parah

MPV terbabas ragut nyawa suami isteri, 5 anak parah

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila MPV tersebut terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah treler.

kemalangan1
ALOR SETAR:
Sepasang suami isteri maut, manakala 5 anak mereka parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bertembung sebuah treler di Jalan Alor Punti, Pendang, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata, 2 mangsa korban itu ialah pemandu kenderaan jenis Perodua Alza, Mohd Padzil Rashid, 50, dan isterinya, Masmiwaza Mohd Noor, 42.

Katanya, 5 anak mereka yang parah ialah Masyitah, 12; pasangan kembar Muhammad Asyraf dan Muhammad Akmal, 11; Munirah, 7, dan Maisarah (belum diketahui umur).

Menurutnya, Mohd Padzil dan Masmiwaza masing-masing mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dan SMK Tobiar.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam ketika semua mangsa dalam perjalanan dari arah Titi Haji Idris menghala ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV tersebut terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah treler.

“Pemandu maut di tempat kejadian, manakala penumpang hadapan (isterinya) meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Fadzil berkata, mangsa korban dan semua anak mereka yang parah itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan sehingga kini tiada sebarang unsur khianat atau jenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.