
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipetik Sin Chew Daily berkata, penangguhan itu juga disebabkan kerajaan negeri sedang mengendalikan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) ketika itu.
Kini, katanya, TNB memaklumkan kerja penyelenggaraan itu tidak boleh ditangguhkan lagi atau mereka perlu menanggung akibat serius.
“Menurut TNB, kerja penyelenggaraan PMU tidak boleh ditangguhkan lagi dan ia memerlukan masa lebih lama, mungkin sebulan untuk membaiki, jika mengalami kerosakan.
“Oleh itu, kerajaan negeri membenarkan TNB menjalankan kerja penambahbaikan bagi mengelakkan gangguan bekalan air lebih serius.
“Tetapi, kerajaan negeri percaya tempoh gangguan bekalan air kali ini tidak memerlukan masa begitu panjang sehingga 6 hari,” katanya selepas merasmikan sebuah majlis di Shah Alam, pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri hari ini menemui pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi mencari jalan memendekkan gangguan bekalan air selama 6 hari di Lembah Klang supaya rakyat boleh meraikan Krismas.
Beliau berharap kerja penyelenggaraan itu boleh dipercepatkan supaya bekalan air akan pulih secepat mungkin bagi mengelakkan ia menjejaskan sambutan musim perayaan.
Kelmarin, TNB memaklumkan loji rawatan air utama di Selangor dan ibu negara bakal mengalami gangguan bekalan elektrik hari ini, berikutan kerja penyelenggaraan di PMU Bukit Badong, Kuala Selangor.
Ia seterusnya akan menyebabkan lebih 707,759 akaun atau 3,892,641 pengguna di 814 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air, susulan kerja penyelenggaraan PMU itu.
Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yakin proses pemulihan bekalan air dapat disegerakan dan gangguan bekalan air di Lembah Klang mungkin berakhir lebih awal daripada jangkaan, iaitu sebelum malam Krismas.
TNB cadang syarikat pengendali air naik taraf jana kuasa ke-2