Penduduk mengeluh gangguan bekalan air berulang

Penduduk mengeluh gangguan bekalan air berulang

Seorang pesara tertekan memikirkan masalah ketiadaan air buat kali ketiga tahun ini

water_no_600
KUALA LUMPUR:
Penduduk dan pengusaha restoran mengeluh dan kesal terhadap gangguan bejalan air bermula hari ini di Lembah Klang membabitkan lebih 3.8 juta pengguna termasuk mereka yang membuat persiapan untuk menyambut Krismas hujung minggu ini.

Pesara swasta Christopher Lee, 65, berkata beliau menghadapi tekanan memikirkan masalah ketiadaan air di kawasan perumahannya yang berlaku buat kali ketiga tahun ini.

“Asyik tiada air je, macam mana saya hendak buat persediaan sempena Krismas ini. Rumah saya rumah tumpuan seluruh anggota keluarga, jadi kesulitan begini sungguh mengecewakan.

“Saya penat dengan alasan dan notis catuan air sedangkan air adalah keperluan utama seisi keluarga,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Taman Danau Kota, Setapak hari ini.

Pengusaha kafe, Munirah Shafie, 27, berkata beliau dan suaminya terpaksa berbelanja kira-kira RM1,000 hari ini untuk membeli 40 botol besar air mineral serta isian semula air bagi memastikan perniagaannya di Taman Melawati berjalan lancar.

Beliau mendakwa notis notis gangguan bekalan air yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) adalah terlalu singkat.

Shafie Ismail, 50, penghuni tingkat tujuh Flat Sri Tioman II, Taman Melati, pula berkata gangguan bekalan air cukup membebankan keluarganya.

“Saya sekeluarga terpaksa mengangkat air berbaldi-baldi kerana lif selalu rosak. Naik tangga 7 tingkat tanpa membawa air pun sudah cukup membebankan, inikan pula kena bawa beban berat seperti ini,” katanya.

Pengurus restoran makanan segera di SS2 Petaling Jaya, Armida Hamdan, 23, berkata tempat membasuh tangan dan tandas restoran itu terpaksa ditutup kepada pelanggan ketika gangguan bekalan air.

“Gangguan bekalan air juga dijangka menjejaskan hasil jualan kerana beberapa menu seperti minuman ‘Frozen Coke’ perlu dihentikan kerana mesin proses air minuman itu memerlukan sumber bekalan air terus,” katanya.

Gangguan bekalan ini adalah disebabkan kerja penyelenggaraan Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor yang menyebabkan loji-loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat beroperasi.

Ia menjejaskan pengguna di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Tempoh gangguan pada asalnya dijangka berlaku sehingga malam ambang Krismas namun usaha kini dibuat untuk memendekkan tempoh berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.