V Shem-Wee Kiong juarai Siri Super Dunia 2016

wee-keong

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sekali lagi mengharumkan nama negara apabila muncul juara pada Siri Super Dunia Akhir 2016 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung sengit selama 40 minit itu, beregu utama negara itu menewaskan lawan dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-14, 21-19 untuk merangkul kejuaraan tersebut buat julung kalinya.

Untuk rekod musim ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mencatat keputusan cemerlang pada kejohanan bertaraf Siri Super Premier apabila buat kali pertama muncul juara Terbuka Denmark pada Oktober.

Sejak digandingkan pada 2014, V Shem-Wee Kiong turut menjuarai Grand Prix Emas Terbuka India dan Terbuka Amerika Syarikat, awal tahun ini.

Pada Siri Super Dunia edisi kali ini, jaguh badminton negara yang juga pemain perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei gagal mara ke separuh akhir apabila sekadar menang 1 daripada 3 perlawanan peringkat kumpulan.