
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Melaka dan Selangor.
“Warga asing yang ditahan termasuk 2 pelajar di Universiti Antarabangsa Al-Madinah Shah Alam dan seorang operator kilang di Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khalid berkata 2 pelajar berkenaan ditahan bersama seorang lagi suspek di sekitar Selangor pada 3 November manakala operator kilang warga asing berusia 26 tahun ditahan di Johor pada 8 Disember lepas.
Beliau berkata siasatan mendapati salah seorang dari pelajar berkenaan pernah disiasat oleh pihak berkuasa asing kerana terlibat dalam kumpulan militan IS.
Pada September lepas, pelajar itu disyaki terlibat dalam percubaan mendapatkan maklumat-maklumat sensitif mengenai aspek keselamatan di sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara manakala seorang lagi pelajar disyaki bersubahat dengannya.
“Pemeriksaan mendapati seorang lagi suspek pernah ditahan di Timur Tengah pada 2010 kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Al-Qaeda.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan di Selangor itu telah diusir pulang ke negara asal pada 22 dan 23 Nov lepas,” katanya.
Beliau berkata operator kilang itu pula ditahan kerana disyaki merancang untuk menyeludup senjata api ke Poso, Indonesia serta menyusup masuk ke Myanmar bagi melancarkan serangan.
Selain itu, Khalid berkata 3 lagi lelaki rakyat tempatan yang ditahan termasuk seorang lelaki berusia 24 tahun yang ditahan di Melaka pada 26 November lepas kerana disyaki anggota kumpulan pengganas IS.
Menurut beliau, lelaki berkenaan disyaki menerima arahan dari rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan pengganas IS di Syria Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di sekitar Melaka dan ibu negara.
Katanya, siasatan mendapati suspek itu juga mendapatkan tunjuk ajar cara-cara menghasilkan alat letupan reka ganti (IED) daripada seorang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS di Syria yang dikenali sebagai Muhammad Nasrullah Abd Latif@Abu Gomes.
“Seorang lagi ialah pemandu lori berusia 24 tahun yang ditahan pada 16 Disember kerana disyaki telah mengancam untuk melancarkan serangan bom ke atas pusat hiburan di sekitar ibu negara melalui akaun Facebook miliknya,” katanya.
Beliau berkata seorang pekerja kilang perabot berusia 35 tahun pula ditahan di Kota Kinabalu pada 16 November kerana disyaki menganggotai sel IS di Sabah.
Sehubungan itu, Khalid berkata kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).