Khairy: Gaji pemain perlu realistik, kurang beban persatuan

Liga-super-KhairyKUALA LUMPUR: Gaji pemain bola sepak Liga Malaysia perlu realistik bagi mengurangkan bebanan persatuan bola sepak negeri atau kelab bertanding, kata menteri belia dan sukan.

Khairy Jamaluddin menyarankan persatuan dan kelab bola sepak beroperasi mengikut kemampuan kewangan masing-masing atau mencari penaja luar untuk membantu meringankan bebanan tanggungan pasukan.

“Tidak perlulah khidmat pemain yang boleh dikatakan bergaji besar atau pemain import bergaji besar, sebaliknya menggunakan pemain muda pelapis sedia ada untuk mengurangkan bajet,” katanya selepas memberi amanat kepada Kontinjen Sukan SEA dan Sukan Para Asean di Hotel Renaisance hari ini.

Hotel berkenaan bakal menjadi penginapan rasmi kontinjen Malaysia semasa Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2017.

Selepas Kelantan dan Perlis, terbaharu Selangor yang merupakan pasukan gergasi pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali dikatakan akan menarik diri daripada Liga Malaysia, berikutan kemelut kewangan melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Mengulas isu itu, Khairy berkata, sesebuah negeri tidak perlu mempunyai 2 pasukan, sebaliknya pihak terbabit bekerjasama memperkasakan sebuah pasukan sahaja kerana ia akan menjimatkan perbelanjaan.

“Sebenarnya dalam kes Selangor ini, ada jalan keluar, iaitu tidak perlu penyertaan 2 pasukan. PKNS adalah agensi kerajaan negeri dan sepatutnya mereka menaja pasukan negeri.

“Oleh kerana tiada usaha untuk menggabungkan 2 pasukan, akhirnya kemungkinan pasukan Selangor tidak akan beraksi dalam Liga Malaysia. Kita kena buang ego,” katanya.

Khairy berkata, isu kewangan pasukan Liga Malaysia sudah sampai ke tahap kritikal kerana kebanyakan pasukan bergantung dana daripada kerajaan negeri masing-masing.

Beliau mengakui menguruskan sesebuah pasukan ketika ini memerlukan dana cukup besar khususnya dalam penswastaan liga.

“Berbeza ketika saya kendalikan pasukan My Team, bajet hanya RM3 hingga RM4 juta sahaja bagi menguruskan pasukan, sekarang ini bajet tersebut tidak mampu membayar gaji pemain,” katanya.