
Beliau mendakwa kerajaan hari ini menikmati pendapatan luar jangka ekoran kenaikan harga minyak dunia, selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran minyak.
Semalam beliau menyatakan Carta Piawaian Minyak Mentah Brent menunjukkan harga minyak pada 19 Disember adalah AS$54.78 setong berbanding AS$46.38 setong pada 19 November.
“Rakyat terlupa yang kerajaan mendapat durian runtuh, dan saya bimbang pendapatan tambahan daripada kenaikan ini digunakan untuk perkara tidak sepatutnya. Saya akan terus pantau harga minyak mentah.
“Jika sehingga akhir Januari ia kekal di atas RM246.37 (AS$55) setong, dan ringgit kekal rendah, saya yakin pendapatan luar jangka kerajaan akan meningkat dan kita perlu mendesak perdana menteri menyemak dan mengembalikan kembali potongan dalam belanjawan lalu,” katanya pada sidang media di Invoke Malaysia hari ini.
Menurut laporan, pendidikan antara bidang yang menerima pemotongan apabila peruntukan universiti awam dikurangkan RM1.46 bilion dan hospital universiti menerima hanya RM155 juta.
Bagi bidang kesihatan pula, peruntukan bagi farmasi dan bekalan awam dipotong RM86 juta dan penyelidikan perubatan RM9.05 juta.
Naib presiden PKR itu juga menggesa kerajaan mengembalikan subsidi minyak kerana menurutnya harga pasaran RON95 pada Januari ini akan meningkat kepada RM2.20 seliter.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, saya tidak rasa kenaikan itu boleh ditanggung rakyat. Maka jika ada pendapatan tambahan hasil kenaikan harga minyak, gunakannya untuk mengembalikan subsidi sebanyak 15-20 sen seliter, agar harga (RON95) tidak melebihi RM2 seliter,” katanya lagi.