
Aaron Anthony dan Amelda Wong yang baru berkahwin bulan lalu, menggunakan wang simpanan untuk membeli cenderahati buat tetamu perkahwinan tradisional mereka, bagi menjamu 20 kanak-kanak dari Rumah Kanak-kanak Komuniti dan lebih 35 penghuni dari Rumah Kanak-kanak Charis, baru-baru ini.
“Kami fikir bagaimana sesetengah orang berbelanja begitu banyak untuk majlis perkahwinan sedangkan ada orang di luar sana yang tidak begitu bernasib baik.
“Kami mahu melakukan sesuatu yang lebih bermakna dengan wang,” kata Anthony yang bekerja di sebuah bank.
Wong yang bekerja sebagai perunding perniagaan di bank sama dengan suaminya berkata: “Setiap tahun, kami akan derma wang kepada badan amal, tetapi tahun ini kita mahu lakukan sesuatu lebih hands-on.”
Kanak-kanak itu tiba di Kafe Charlie di Taman Desa dengan menaiki bas sewa dan diraikan dengan makan malam serta pertunjukan badut. Gerai foto turut disediakan di luar kafe.
“Kami memilih Kafe Charlie kerana kami tahu mereka juga melakukan kerja amal dan berminat membantu kami,” kata Anthony.
Kafe itu menggalakkan pelanggan menderma RM5 untuk makanan pelanggan seterusnya sebagai sebahagian program “pay-it-forward”.
“Pasangan itu menghubungi saya dan beritahu mereka mahu melakukannya di kafe saya dan saya sangat gembira membenarkan mereka berbuat demikian,” kata pemilik kafe, Desonny Tuzan.
Selain membayar makanan mereka, Anthony dan Wong turut menyumbang RM15 kepada setiap anak yatim itu.
“Kami fikir mahu beri mereka kelengkapan kembali ke sekolah, tetapi rumah kebajikan itu memaklumkan wang akan membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli keperluan harian seperti barang runcit,” kata Anthony.
Wong berkata, sukar untuk memilih rumah kebajikan mana yang hendak dijemput ke jamuan itu.
“Kami tahu sesetengah rumah kebajikan dibiaya dengan baik dan kami mahu pastikan kami menyumbang kepada mereka yang layak,” katanya yang berharap mereka dapat mengadakan sebuah lagi majlis amal kelak.
“Ia akan mengambil sedikit masa sebelum kami dapat melakukan sesuatu seperti ini semula, tetapi jika kami ada caranya, sudah pasti ia akan dilakukan. Kami banyak belajar daripada majlis kali ini.”