Polis tahan pemandu lori terlibat kemalangan maut

Polis tahan pemandu lori terlibat kemalangan maut

Hasil siasatan mendapati pemandu lori cuai kerana membuat pusingan U haram sehingga menyebabkan kemalangan maut.

polis-tahan
JOHOR BHARU:
Seorang pemandu lori ditahan kerana mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal ketika membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan di Taman Adda Heights, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Bahru Selatan Supt M Kumar berkata pada kejadian 6.15 pagi, lori muatan ayam beku itu datang dari Taman Adda Heights menghala ke Taman Daya, berhenti di sebuah simpang untuk membuat pusingan sebelum dilanggar dari belakang oleh penunggang motosikal terbabit.

“Hasil siasatan mendapati pemandu lori berkenaan cuai kerana membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan maut,penunggang motosikal berusia 16 tahun itu pula tidak mempunyai lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata penunggang motosikal tersebut meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan setelah terlanggar lori berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 2 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.