PPBM perlu pasukan bersatu, bukan pelakon drama Melayu

PPBM perlu pasukan bersatu, bukan pelakon drama Melayu

Tariq Ismail menggesa ahli PPBM fokus kepada memperjuangkan nasib negara dan rakyat, memperjuangkan kebenaran dan keadilan, masa depan anak dan generasi akan datang.

tariq-anina-1
PETALING JAYA:
Akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) harus fokus kepada isu sebenar yang berlaku bukanya isu melodrama, kata Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail.

“Apa tugas berat ini sehingga ia mampu mengatasi melodrama Melayu yang bermain sekarang?

“Untuk mencapai hasrat ini, kita perlu sebuah pasukan yang bersatu, bukannya pelakon tambahan dalam episod buruk melodrama Melayu,” katanya di status Facebook, hari ini.

Tugas berat yang dimaksudkan adalah memperjuangkan nasib negara dan rakyat, memperjuangkan kebenaran dan keadilan, masa depan anak serta generasi akan datang.

“Walaupun kami menghadapi kerenah yang terbawa-bawa daripada penyatuan terdahulu, peringkat akar umbi kami semakin teguh bersatu dan tertumpu kepada tugas berat yang dikendong,” katanya.

Tariq berkata demikian sebagai mengulas situasi terkini yang berlaku kepada Anina Saadudin apabila beliau dituduh terbabit dalam skandal mesej seks sehingga tersingkir daripada jawatan ketua sayap wanita parti itu, minggu lalu.

Satu “screenshots” dikatakan perbualan Anina menerusi Whatsapp dengan seorang lelaki yang tidak diketahui namanya tersebar di Internet.

Nama Anina yang juga bekas ahli Umno mula dikenali ramai apabila rakaman video menunjukkan beliau mengkritik Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan tahunan parti itu tersebar tahun lalu.

Anina secara lantang mengkritik tindakan Najib dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri yang akhirnya didedahkan wang berkenaan derma daripada keluarga diraja dari Arab.

Pada September tahun lalu, tindakan dan kritikan Anina itu menyebabkan beliau disingkirkan daripada Umno.

Tariq yang juga cucu kepada bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman menggesa ahli PPBM tidak terperangkap “dalam melodrama elitis ketamakan kuasa dan kekayaan”.

“Kita terlalu taksub dan menurut perasaan sehinggakan kita gagal mendukung prinsip kita dalam perjuangan ini. Kita tergoda dek perasaan tamak haloba bagi mendapatkan kuasa memerintah.

“Terlalu tamak sehinggakan ia terterap dalam jiwa dan minda kita sebagai suatu nilai baru bangsa Melayu, langsung memesongkan budaya Melayu yang dulunya begitu indah,” katanya.

Tariq berkata keadaan kini menunjukkan nilai peradaban Melayu versi Umno yang terpesong menular jauh ke akar umbi masyarakat.

“Penerapan dogma ketuanan Melayu membentuk generasi Melayu yang mementingkan diri dan sombong bongkak, seterusnya membentuk ramai Tok Dengki dan Cik Puan Celupar di dalam masyarakat.

“Semestinya ada di antara mereka akan turut terlibat di dalam PPBM. Ini semestinya di luar kawalan kami. Tetapi saya tidak akan menggelar mereka ahli berkualiti rendah kerana setiap manusia itu tidak sepi daripada kelemahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.