
Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar berkata mereka yang dilantik perlu cekap, dedikasi, berpengetahuan dan berpengalaman dan bidang masing-masing, dan yang paling penting berintegriti.
Katanya, calon yang dipilih perlu diperiksa dengan teliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Akhbar berkata demikian ketika mengulas laporan RM2 bilion ketirisan daripada jabatan kerajaan dan GLC ditemui susulan audit oleh Jabatan Audit Negara.
Beliau berkata pengarah yang didapati terbabit dalam skandal atau gagal mengasingkan tanggungjawab tugas mereka perlu disingkirkan daripada jawatan masing-masing serta-merta.
“Tindakan keras perlu diambil terhadap mereka yang melanggar amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, duit yang dilaburkan dalam GLC ialah milik pembayar cukai dan ia tidak sepatutnya diselewengkan.
Berhubung ketirisan itu, Akhbar berkata “3 barisan pertahanan” terhadap ketirisan – kawalan pengurusan, kawalan risiko dan pematuhan dan audit dalaman – diguna pakai banyak syarikat dan GLC gagal kerana pemantauan yang rendah oleh lembaga pengarah mereka.
Akhbar berkata kerajaan negeri juga perlu menyemak semula kriteria dalam melantik pengarah syarikat milik kerajaan negeri.
Sementara itu, bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Ramon Navaratnam menyelar Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung pemerolehan semula RM2 bilion itu.
“Apa yang membuatkan masyarakat umum semakin rasa hilang harapan ialah pelaku ketirisan itu tidak dibawa ke depan dan dihukum.
“Rakyat berharap kerajaan akan ambil tindakan terhadap pegawai yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini dilaporkan, Ambrin berkata kira-kira RM2 bilion diperoleh semula susulan audit dijalankan Jabatan Audit Negara.
Ambrin berkata wang itu diperoleh semula daripada audit yang dijalankan sejak 4 tahun lalu terhadap jabatan kerajaan dan agensi yang sebelum ini didapati lemah dalam pengurusan wang.