
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 5 individu dari Jerantut, 3 dari Kuantan, 2 dari Maran dan seorang masing-masing dari Pekan, Temerloh serta Raub.
“Polis Pahang memandang serius hal ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap ancaman militan IS yang menular di negeri ini. Militan IS merupakan isu semasa yang perlu ditangani bagi mengekang penyebarannya dalam kalangan masyarakat termasuk polis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kontinjen Pahang dan melancarkan pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan yang baharu di sini, hari ini.
Sementara itu, Sharifuddin turut mengingatkan pegawai dan anggota polis di negeri ini supaya jangan sesekali terlibat dalam gerakan militan itu kerana ia boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain membawa banyak kemudaratan terhadap diri sendiri.
“Para pegawai penyelia hendaklah sentiasa memantau aktiviti dan kualiti kerja orang bawahan mereka. Teguran perlu dibuat jika berlaku kesalahan dan jika ia berulang, tindakan tatatertib yang lebih serius perlu diambil bagi memastikan PDRM sentiasa unggul sebagai agensi penguatkuasa utama negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kesemua pegawai dan anggota polis perlu sentiasa siap sedia untuk memberikan khidmat kepada masyarakat dalam menghadapi bencana banjir di Pahang pada musim tengkujuh ini.
“Kita melakukan persiapan dari segi anggota dan peralatan sejak awal lagi manakala cuti pegawai dan anggota juga dibekukan hingga Januari depan meskipun kelonggaran tetap diberikan kepada mereka yang ada kecemasan. Namun, kita akan segera memanggil mereka bertugas jika terjadinya banjir,” katanya.