KUALA LUMPUR: Kos pembinaan projek Transit Aliran Massa 1 (MRT1) dari Sungai Buloh ke Kajang bukannya RM21 bilion, sebaliknya ialah RM28 bilion, dakwa Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu berkata, ia perlu mengambil kira kos perunding sebanyak RM7 bilion.
Katanya, kos itu dibayar MRT Corp kepada KVMRT Sdn Bhd, sebuah konsortium bersama yang dibentuk MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd.
Beliau merujuk laporan New Straits Times pada Julai 2014 yang memetik bekas ketua pegawai eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai mengesahkan kos keseluruhan pembinaan MRT1 ialah RM28 bilion, termasuk kos perunding yang dibayar kepada KVMRT.
Ahli Parlimen PKR Pandan itu mengadakan sidang akhbar harian bagi mempertikaikan angka rasmi bagi kos pembinaan projek MRT.
Terdahulu, pasukan komunikasi strategik Barisan Nasional menafikan hujah Rafizi semalam mengenai kos tinggi projek itu berbanding projek MRT sama di Sepanyol dan Korea Selatan.
Menurutnya, Rafizi merujuk blog dikenali sebagai Pedestrian Observations yang memberi amaran kepada pembaca untuk tidak bergantung kepada data yang mungkin salah itu.
Rafizi hari ini menolak kenyataan ini yang didakwanya dibuat “tentera siber”.
“Saya tidak respons kepada tentera siber. Saya mahu seseorang yang saya boleh saman.
“Ia adalah lawak yang anda mempunyai pengarah komunikasi strategik yang tidak berkomunikasi dan outsource segala-galanya kepada hantu yang saya tidak boleh saman.”
Kelemahan Najib punca kos MRT diumum tidak realistik, kata Rafizi