
Sebuah kompleks 8 bangunan yang dimajukan CCCG pada harga AS$1 bilion menyasarkan pasangan muda tempatan berpendapatan sederahana, dan merupakan projek paling besar di ibu kota Indonesia ini.
Beberapa pemaju lain seperti Mitsubishi Corporation, Tokyu Land, Hong Kong Land dan Sime Darby dari Malaysia turut memeterai perjanjian di Jakarta dan kawasan berdekatan, menurut perunding BCI Asia.
Kesemua projek itu mempunyai anggaran nilai sekurang-kurangnya AS$2.8 bilion, jumlah yang paling tinggi melibatkan pemaju asing sejak 2007, di sebalik pasaran hartanah Indonesia yang lembap.
“Sasaran kami ialah pasangan dan keluarga muda. Mereka yang perlukan rumah dengan akses mudah,” kata Ferry Thahir, pengurus di PT China Harbour Jakarta Real Estate Developer, salah sebuah cabang CCCG.
Menurutnya, disebabkan kesesakan lalu lintas Jakarta, jarak dekat dengan pusat bandar raya merupakan tarikan.
Keluarga dan pasangan berpendapatan sederhana di Indonesia kini berjumlah 55 juta, menurut data pemaju PT Lippo Karawaci Tbk.
CCCG turut terlibat dalam projek perumahan di beberapa negara Asia lain termasuk Myanmar dan Malaysia, dan setakat ini di Indonesia, ia memberi fokus terhadap infrastruktur.
Firma milik kerajaan China itu juga merancang 4 lagi projek perumahan di Jakarta yang dipacu peningkatan urbanisasi – kira-kira 200,000 orang berpindah ke Jakarta setiap tahun.
“Langkah pihak berkuasa seperti melonggarkan syarat pinjaman dan peraturan cukai ke atas hartanah kini menggerakkan pasaran,” kata Thahir.
Menurut badan pelaburan Indonesia, Badan Koordinasi Penanaman Modal, pelaburan asing secara langsung dalam hartanah meningkat kepada AS$1.67 bilion dalam tempoh Januari hingga September, daripada AS$1.48 bilion tahun lalu, sementara bilangan projek melibatkan pelabur asing menigkat 34% kepada 842.
Jualan hartanah merudum menyebabkan kejatuhan harga tanah di Jakarta, dan syarikat Indonsia bergabung dengan syarikat asing untuk mendapatkan dana, kata Theresia Rustandi, timbalan pengerusi Persatuan Perusahaan Realestat Indonesia (REI).
Usahasama Mitsubishi dengan PT Bumi Serpong Damai Tbk menyasarkan pembinaan 1,000 rumah dan unit perniagaan, manakala usahasama Sime Darby dengan pemaju Indonesia, PT Hanson International Tbk, menyaksikan pelaburan sebanyak 11.3 trilion rupiah (RM3.7 bilion) memajukan tanah seluas 500 hektar.
Susulan kejatuhan hartanah di seluruh dunia, jualan hartanah Indonesia menurun 35% pada 2014, 26% pada 2015 dan 49% pada 9 bulan pertama tahun ini, menurut pengkaji Indonesia Property Watch (IPW).
Bank Indonesia menurunkan kadar minimum wang pendahuluan untuk pembeli rumah buat kali kedua dalam tempoh 2 tahun, di samping pihak berkuasa mengurangkan cukai jualan rumah sebanyak 50%.
Ali Tranghanda, pengarah eksekutif IPW, menjangkakan jualan hartanah di Indonesia meningkat sekurang-kurangnya 15% tahun depan.