3,700 mangsa sungai mengganas, MetMalaysia ramal hujan berterusan

banjir-met-1

PETALING JAYA: Lebih 3,700 orang dipindahkan di Terengganu dan Kelantan ekoran banjir di dua negeri pantai timur Malaysia Barat itu.

Aplikasi InfoBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan setakat 6.35 petang tadi, 3,764 orang sudah dipindahkan, iaitu 2,538 orang di Terengganu dan 1,226 orang di Kelantan.

Sekarang ini, 38 pusat perlindungan sementara beroperasi di Terengganu dan 14 lagi di Kelantan.

Mangsa termasuk 806 kanak-kanak dan 27 bayi di Terengganu dan 403 kanak-kanak dan 17 bayi di Kelantan.

Di Kelantan, paras air di Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Kusial sudah melebihi paras bahaya.

Di Terengganu, paras air di Sungai Marang, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Chalok, Sungai Nerus dan Sungai Telemong sudah melebihi paras bahaya.

Sementara itu, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) belum menerima notis membatalkan perjalanan ke dan dari Terengganu dan Kelantan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata perkhidmatan kereta api ke pantai timur masih diteruskan.

Ketua Komunikasi Korporat KTMB Ridhwan Arshad memberitahu laluan kereta api dari Gemas ke Gua Musang dan Tanah Merah setakat ini tidak terjejas dan sekiranya banjir menjejaskan perkhidmatan kereta api, KTMB akan menyediakan pengangkutan alternatif seperti bas untuk membawa penumpang yang terkandas ke stesen berhampiran.

FMT belum berjaya mendapatkan perkembangan terkini daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu dan Kelantan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata hujan dijangka berterusan sehingga esok di beberapa daerah di Kelantan iaitu Pasir Puteh, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, serta di semua daerah di Terengganu.

Jabatan Pendidikan Terengganu mengumumkan 33 buah sekolah ditutup, manakala Jabatan Pendidikan di Kelantan akan membuat keputusan esok.

Dalam laporan FMT sebelum ini, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Terengganu berkata mereka giat memindahkan semua ahli keluarga mangsa sepanjang hari ini, termasuk golongan tua dan kanak-kanak, ke pusat berhampiran.

“Mereka dalam keadaan baik. Mereka mendiami kawasan yang sering dilanda banjir. Akibat tragedi banjir 2014, mereka ketakutan dan tidak mahu perjudikan nyawa di rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Kelantan berkata mangsa “begitu takut sekiranya pengalaman 2014 berulang kembali. Mereka mengharapkan tahun baru tanpa banjir.”