Gencatan terbatal jika Assad, sekutu terus mencabul

rebellion

BEIRUT: Kumpulan pemberontak Syria hari ini berkata gencatan senjata yang diusahakan Rusia dan Turki akan terbatal sekiranya tentera kerajaan dan sekutu terus mencabul perjanjian itu.

Rusia, yang menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad, mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merestui gencatan itu, yang ketiga tahun ini untuk mencari pengakhiran kepada perang hampir 6 tahun di Syria.

Pertempuran dan serangan udara masih berlaku di beberapa kawasan sejak gencatan berkuatkuasa pada Jumaat, namun Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria hari ini berkata perjanjian secara umumnya masih lagi bertahan.

“Pencabulan berterusan oleh rejim serta pengeboman dan cubaan menyerang kawasan yang berada dalam kawalan kumpulan revolusi akan menyebabkan perjanjian terbatal dan tidak sah,” kata kenyataan bersama beberapa kumpulan pemberontak.

Ia berkata tentera kerajaan dan sekutu cuba meneruskan kemaraan, terutamanya di kawasan barat laut Damsyik.

Rusia dan Turki, yang menyokong penentangan bersenjata menentang Assad, menjadi orang tengah dalam perjanjian gencatan senjata dengan harapan ia akan membuka jalan kepada rundingan damai di Kazakhstan tahun depan.

Dalam kenyataan mereka, pemberontak berkata kerajaan dan pembangkang menandatangani 2 versi perjanjian gencatan senjata yang berbeza, salah satunya tidak mempunyai “beberapa perkara penting dan utama yang tidak boleh dirundingkan”, tanpa menyatakan perkara itu.

Terdapat kekeliruan kumpulan pembangkang mana yang terlibat dalam gencatan senjata. IS, yang merupakan musuh semua pihak dalam konflik itu, tidak dilibatkan.

Tentera Syria pada Khamis berkata kumpulan militan yang sebelum ini dikenali sebagai Barisan Nusra tidak terlibat. Tetapi, beberapa pegawai pemberontak berkata kumpulan itu, yang kini digelar Jabhat Fateh al-Sham, terlibat dalam perjanjian gencatan senjata.