Kebangkitan China buktikan dasar pendidikan Cina betul, perlu

dong

PETALING JAYA: Dasar kerajaan membenarkan pembangunan pendidikan aliran bahasa Cina bertepatan dengan trend penggunaan bahasa Mandarin sejagat, kata gerakan pendidikan bahasa ibunda, Dong Zong.

Pengerusi Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia itu, Temenggong Vincent Lau berkata pendidikan Cina melahirkan generasi muda yang berdaya saing.

Katanya kementerian pendidikan perlu mengenepikan “corak pendidikan unitari”, dan mengalakkan dasar yang lebih terbuka dan melihat pendidikan pelbagai aliran sebagai pelaburan dalam pembangunan sosial dan budaya warisan.

Mutakhir ini beberapa badan bukan kerajaan menyeru pemansuhkan sekolah aliran. Pengkritik berpendapat sekolah aliran menjadi penghalang kepada perpaduan dan mahu pendidikan dibuat dalam aliran kebangsaan sahaja.

“Tidak boleh disangkal yang kepelbagaian etnik menyumbang kepada kemakmuran negara. Ia merupakan kelebihan rakyat Malaysia.”

Melalui Program Transformasi Ekonomi, katanya Putrajaya menaikkan pendapatan per kapita daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 bagi tahun 2020, bertujuan untuk menghasilkan 3 juta pekerjaan.

“Bagaimanapun, untuk menjayakan 2 sasaran itu, dasar sumber manusia yang mengalakkan perlu disediakan supaya generasi muda memperoleh pendidikan yang baik dan kemahiran profesional.”

“Cabarannya adalah menyediakan peluang pendidikan aliran dan pembangunan sumber manusia yang adil.”

Oleh itu, Vincent menggesa kerajaan supaya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dan menyediakan peruntukan untuk membina lebih banyak sekolah menengah Cina, supaya lebih ramai pelajar tribahasa berkhidmat untuk negara.

Kepimpinan negara juga digesa mengamalkan perspektif kesejagatan supaya dasar yang perlu untk mencapai matlamat itu boleh disediakan.

“Kita perlu melihat ke depan demi generasi akan datang. Sudah tiba masanya kepimpinan negara dan parti politik ketepikan corak unitari dan pemikiran berasaskan kaum. Sekarang ini masa kepelbagaian.”

Lau berkata kerajaan dan semua lapisan masyarakat perlu melindungi budaya warisan Malaysia yang majmuk, kerana pemikiran unitari dalam dasar bahasa dan budaya hanya mengundang “penentangan dan bencana.”

“Parti politik berasaskan kaum atau agama cenderung mendapat ektremisme, menyuarakan kenyataan yang provokatif serta menggunakan paksaan dan menindas.”

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menentang amalan itu bagi mengelakkan akibat yang tidak diingini.”