PKR bantah pekerja gantung iklan ‘Bebas Anwar’ ditahan

afif-bahardin-1

GEORGE TOWN: PKR mengutuk tindakan menahan 3 pekerja parti yang memasang kain rentang dan papan iklan “Bebas Anwar” di Bukit Mertajam semalam.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata pekerja parti berkenaan ditahan polis pada jam 3 petang semalam.

“Kami melihat tindakan itu sebagai usaha menakutkan PKR, mencegah daripada cubaan membebaskan pemimpin kami, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan dengan kejam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Difahamkan, pekerja parti berkenaan sedang memasang kain rentang dan papan iklan mengumumkan perhimpunan dan ceramah program “Himpunan Solidariti #BebasAnwar #SelamatkanMalaysia” pada 9 Januari.

Program itu diadakan serentak dengan kehadiran Anwar di mahkamah di Pulau Pinang pada 8 hingga 12 Januari.

Setiausaha Majlis Kepimpinan PKR Pulau Pinang Zulkiefly Saad memberi maklumat mendakwa pekerja parti berkenaan mungkin disiasat atas kesalahan menghasut.

“Sejak bila perkataan ‘Bebas Anwar’ jadi menghasut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Afif berkata PKR sudah memaklumkan kepada polis hasrat mereka menganjurkan perhimpunan dan ceramah itu.

“Kami akan tetap tenang dengan intimidasi itu dan berjanji untuk meneruskan acara itu seperti dirancang,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan 3 lelaki bagi membantu siasatan berhubung pemasangan papan iklan dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang itu semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata 3 lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika memasang papan iklan berkenaan di Jalan Baru, Perai di sini, kira-kira 3.00 petang semalam.

“Pihak polis membuka siasatan mengikut Akta Hasutan selepas menerima laporan polis daripada orang awam berhubung pemasangan papan iklan berkenaan yang didakwa cuba menghasut rakyat.

“Semasa siasatan dijalankan, polis mengesan 3 lelaki sedang memasang papan iklan itu di kawasan Jalan Baru dan kami menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, 3 lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihaknya merekodkan keterangan mereka.

Nik Ros Azhan berkata selain di Jalan Baru, 3 papan iklan itu dipasang di Alma, Bukit Teh dan Permatang Tinggi sejak 2 hari lepas juga diturunkan polis.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/12/30/polis-tahan-3-lelaki-pasang-papan-iklan-solidariti-anwar/