25 maut terbakar, van dan trak bertembung di Thailand

langar_thailan

BANGKOK: Seramai 25 orang maut apabila sebuah minivan dan sebuah trak pikap bertembung di Chonburi, daerah Banbueng, hari ini.

Ketua Polis Daerah Banbueng Kol Dussadee Kunchon Na Ayutthaya berkata kemalangan yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar, berlaku pada 2 petang (waktu tempatan).

“Mereka yang maut terdiri daripada 14 penumpang minivan dan 11 penumpang trak pikap,” katanya kepada media hari ini.

Hanya 2 penumpang, masing-masing seorang daripada setiap kenderaan itu, terselamat dan kini dirawat di hospital daerah Banbueng, katanya.

Beliau berkata mayat semua mangsa, sesetengahnya terbakar teruk dan tidak dapat dikenali, dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan.