Banjir Terengganu, Kelantan: Bekalan makanan cukup sebulan

jkm_banjir_600

KUALA BERANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan bekalan makanan di Terengganu dan Kelantan yang terjejas banjir mencukupi sekiranya banjir berlarutan sehingga sebulan.

Ketua Pengarah JKM Datuk Zulkiply Ramly berkata pihaknya melakukan persediaan awal dengan menyediakan bekalan makanan di pangkalan hadapan dan depoh simpanan bekalan makanan yang ditetapkan sebelum ini.

“Alhamdulillah, walaupun banjir berlaku di 2 negeri ini, kerja penghantaran bekalan dan pengagihan makanan berjalan lancar.

“Kita mempunyai 2 depoh bekalan makanan yang besar di Marang, Terengganu dan di Kemumin di Kelantan dan bekalan makanan ini juga cukup untuk sebulan sekiranya banjir berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Kampung Getang di sini hari ini.

Zulkiply berkata pihaknya juga mengambil kira pengalaman berhadapan dengan banjir yang teruk 2 tahun lepas di 2 negeri itu sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini.

“Untuk mendapatkan bekalan makanan ini juga kita turut bekerjasama dengan 3 pasaraya besar untuk mendapatkan bekalan makanan segera.

“Di setiap negeri kita juga mempunyai pangkalan hadapan masing-masing dan mini depoh di daerah-daerah,” katanya.

Sementara itu, Zulkiply berkata 1 pusat pemindahan berskala besar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Hulu Terengganu dikenal pasti dapat menampung jumlah mangsa banjir yang ramai di daerah ini.

“Pusat perpindahan ini boleh menempatkan hingga 2,000 mangsa banjir dan 3 pembekal tempatan boleh menghantar bekalan makanan ke depoh dan pusat pemindahan ini jika diperlukan.

“Daerah ini paling ramai terjejas dan jika diperlukan penempatan ini juga boleh menjadi mini depoh untuk bekalan makanan,” katanya.