McDonald’s mohon maaf tetapi dasar kek halal diteruskan

mcdonald-cake

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia memohon maaf atas segala salah faham yang timbul daripada notis kek halal, namun mereka akan tetap meneruskan dasar itu bagi mematuhi garis panduan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

McDonald’s berkata, sebagai syarikat yang memberi perkhidmatan kepada semua lapisan rakyat Malaysia, mereka tidak berniat mewujudkan diskriminasi terhadap mana-mana individu.

“Di McDonald’s, kami mengamalkan polisi ‘tiada makanan luar dibenarkan’, bagaimanapun kami membuat pengecualian untuk kek hari jadi memandangkan ia penting dalam meraikan sesuatu yang istimewa,” kata syarikat itu menerusi Facebooknya kelmarin.

Khamis lalu, tersebar imej suatu notis di Internet yang menyatakan hanya kek dengan sijil halal boleh dibawa masuk ke premis McDonald’s.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Dr Sirajuddin Suhaimee ketika dihubungi FMT Khamis lalu berkata, garis panduan mereka bertujuan, antara lain, mengelakkan percampuran bahan dan keraguan terhadap premis yang mendapat status halal.

Katanya, tanggungjawab terletak kepada pihak syarikat yang mendapat sijil halal untuk memastikan garis panduan itu dipatuhi.

McDonald’s berkata, mereka perlu memastikan semua produk makanan yang dibawa masuk ke restorannya halal dalam usaha mengekalkan status halal mengikut piawaian ditetapkan Jakim.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi buah fikiran dan pendapat berhubung perkara ini.

“Apa yang penting, kami amat menghargai keprihatinan semua pihak yang berkongsi pandangan dengan kami, dan kami akan terus membuat penambahbaikan untuk menjadikan McDonald’s sebagai restoran pilihan untuk semua rakyat Malaysia.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/12/29/hanya-kek-bersijil-halal-boleh-dibawa-masuk-kata-mcdonalds/