Roger Teoh kembali ke DAP

Roger-Teoh_penang_dap_600

GEORGE TOWN: Seorang sarjana bidang pengangkutan yang lantang mengkritik cadangan pembinaan lebuh raya dalam pelan induk pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) mengumumkan beliau kembali pada DAP, selepas meletakkan jawatan dalam parti itu awal bulan ini.

Roger Teoh, pelajar PhD dalam Pengajian Pengangkutan di Imperial College London berkata beliau menarik balik keputusan peletakan jawatan susulan perbincangan “membina” bersama kepimpinan tertinggi kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, beliau membuat keputusan kembali kepada parti selepas diberikan jaminan untuk mendapatkan saluran “terus” untuk mengutarakan pandangannya mengenai pelan induk pengangkutan itu.

“Susulan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi negeri, dan mewujudkan hubungan komunikasi langsung dalam parti untuk menyuarakan kebimbangan saya terhadap PTMP, saya menarik balik peletakan jawatan saya dalam DAP.

“Dengan adanya saluran tepat untuk memberikan pandangan saya dalam parti, saya percaya banyak lagi yang boleh dicapai secara berkesan bagi kedua-dua pihak selain meningkatkan PTMP,” katanya kepada FMT.

Pada 12 Disember, Teoh meletakkan jawatan sebagai ahli biasa di DAP Bahagian Bagan, selepas kebimbangannya terhadap PTMP tidak diendahkan.

Beliau berkata DAP melampau kerana parti itu terlalu selesa kerana memegang kuasa selama 8 tahun kini, dan turut meluahkan kebimbangannya DAP mungkin berubah menjadi seperti Barisan Nasional.

PTMP bernilai RM46 bilion itu ialah projek pengangkutan mega kerajaan negeri yang membabitkan pembinaan lebuh raya dan landasan kereta api selain 3 pulau buatan di bahagian selatan Pulau Pinang.

Teoh menentang pembinaan lebuh raya yang dicadangkan dalam PTMP, berkata pelan induk itu sebaliknya perlu lebih berpusat kepada pengangkutan awam.

Beliau selama ini banyak menulis artikel memberi penjelasan mengapa PTMP akan gagal jika dilaksanakan.

Sarjana gesa pelan pengangkutan Pulau Pinang dimuat naik ‘online’