Banjir bawa penyakit kencing tikus, kancing gigi, kata doktor

9

KUALA LUMPUR: Semua pihak yang terlibat dengan banjir perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana ancamannya bukan hanya pada paras banjir itu tetapi juga pada bahaya yang tersembunyi seperti jangkitan penyakit dan keselamatan.

Pegawai perubatan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Beyond Borders Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman berkata terdapat 2 jenis risiko yang perlu diberi perhatian semasa banjir iaitu risiko jangkitan penyakit dan juga kecederaan.

Menurutnya terdapat 2 jenis penyakit berjangkit yang biasa berlaku di kalangan mangsa banjir adalah penyakit bawaan air dan vektor seperti malaria dan denggi.

“Penyakit bawaan air seperti kolera, demam tifoid, kencing tikus dan hepatitis A. Ini semua berlaku akibat kuman atau virus yang berada di dalam air masuk ke dalam tubuh kita. Selain itu, kuman juga boleh memasuki tubuh melalui kecederaan terbuka pada tubuh sehingga menyebabkan kancing gigi.

“Kecederaan selalunya terjadi ketika mangsa berjalan di dalam banjir atau berenang tanpa menyedari bahaya yang berada di dasar air seperti serpihan kaca atau besi karat.

“Tetanus pula berpunca daripada kuman di dalam tanah. Ketika banjir, tanah dan air telah bercampur menyebabkan kuman dari tanah bergerak rawak di dalam air yang memudahkan jangkitan berlaku menerusi kecederaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dr Mohd Lutfi Fadil berkata penyakit vektor pula berpunca daripada jangkitan haiwan atau serangga yang membiak di dalam air seperti nyamuk aedes.

“Bila hujan, ada banyak takungan air jernih yang menjadi tumpuan nyamuk untuk membiak. Ibu bapa atau penjaga kena elak anak berenang dalam air banjir bagi mengelak berlaku hipotermia selain mesti amalkan kebersihan tangan.

“Dan yang paling penting bagi saya ialah menyediakan bekalan air bersih di tempat evakuasi banjir. Pasukan sukarelawan perlu peka terhadap keperluan ini ketika menyalurkan bantuan. Selain bekalan air bersih, kelambu juga perlu disediakan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan mangsa banjir untuk berwaspada dengan bahan kimia yang dibawa arus banjir dari kawasan perindustrian dan juga daripada bateri kereta apabila sesebuah kenderaan ditenggelami air bagi mengelak kecederaan akibat bahan kimia.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Terengganu, Lt Kol (PA) Adam A Rahman turut mengingatkan mangsa banjir supaya menjaga kebersihan diri dan kawasan evakuasi serta memantau keselamatan kanak-kanak.

Menurutnya kegagalan menjaga kebersihan boleh meningkatkan risiko keracunan makanan ataupun jangkitan silang.

“Jangkitan silang berlaku apabila seseorang itu menggunakan sesuatu peralatan dan ia kemudiannya digunakan oleh individu lain. Jadi bakteria atau kuman daripada individu pertama tadi dipindahkan kepada individu kedua tanpa disedari.

“Selain kebersihan, ibu bapa perlu memantau dan elak anak mereka daripada bermain air banjir, terutamanya yang masih di bawah umur. Kita khuatir ada lubang besar, longkang, tanah jerlus ataupun lubang yang tidak bertutup seperti telaga. Mereka juga perlu berwaspada dengan kemungkinan adanya haiwan berbisa seperti ular air,” jelasnya.

Adam turut menasihatkan mangsa yang pulang ke rumah dari pusat evakuasi agar memeriksa bahagian dalam dan luar rumah mereka bagi memastikan tidak ada haiwan berbisa yang bersembunyi serta bahan tajam yang dibawa arus banjir.