Mangsa banjir Kelantan meningkat lebih 14,000 orang

apm-banjir

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 14,074 orang setakat 9 malam semalam berbanding 13,496 orang pada 5 petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata sebanyak 41 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terbabit di 5 jajahan negeri ini.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 10,094 orang daripada 3,753 keluarga yang ditempatkan di 30 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 3,456 orang daripada 1,103 keluarga yang ditempatkan di 6 pusat pemindahan, katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata dijangkakan semakin ramai mangsa banjir di Jajahan Tumpat akan dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan air dari kawasan hulu Sungai Golok mengalir ke jajahan itu.

Terdapat 463 orang (127 keluarga) ditempatkan di 3 pusat pemindahan di Pasir Puteh, 50 orang (12 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Kota Bharu dan 11 orang (satu keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Machang, katanya.

Zainuddin menasihati penduduk di Jajahan Tumpat agar sentiasa peka dengan perkembangan banjir di kawasan masing-masing dengan berpindah awal ke pusat pemindahan.

Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m) namun menunjukkan trend penurunan setakat 9 malam, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang adalah 10.06m berbanding 10.10m pada petang semalam.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah menurun kepada 13.60m berbanding 13.78m petang semalam, di bawah paras bahaya pada 16m manakala paras air sungai utama yang lain kembali ke paras normal.