Polis: Jabatan agama tak cukup gagah tangani ekstremisme

Ayob-Khan-Mydin-Pitchay (1)

PETALING JAYA: Polis meminta jabatan agama negeri supaya lebih agresif dalam memantau pendakwah Islam bagi memastikan mereka tidak mempromosikan ideologi radikal yang boleh mencetuskan tindakan keganasan.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kekurangan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa agama memberi ruang kepada pendakwah asing dan tempatan berhubung dengan masyarakat awam tanpa pemantauan.

Katanya, ada antara pendakwa yang menyebarkan ajaran tidak selaras dengan kepercayaan Sunni.

“Kami sedar ada antara ajaran itu cenderung ke arah ekstremisme walaupun isi kandungannya tidak secara langsung memberitahu pendengar melakukan kecederaan kepada umat Islam lain,” katanya.

Antara contoh, katanya ialah pendakwah yang tidak secara langsung memberitahu sesetengah ajaran Ahli Sunnah Wa al-Jemaah kufur tetapi menggelar ia sebagai bidaah.

Ayob berkata sesetengah pengikut pendakwah itu yang tahu mengenai tradisi kenabian mengutuk bidaah dalam agama, mungkin menyimpulkan mereka dibenarkan untuk membunuh sesiapa yang kufur dalam kalangan Ahli Sunnah Wa al-Jemaah.

Beliau berkata memantau pendakwah tidak termasuk dalam bidang kuasa jabatannya tetapi mereka mempunyai senarai suspek.

“Jika ajaran itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, kami akan menasihatkan jabatan agama mengambil tindakan terhadap pendakwah tetapi terpulang kepada mereka.

“Sepatutnya, pendakwah perlu mendapatkan kebenaran daripada jabatan agama, tetapi ramai yang tidak berbuat begitu,” katanya.

Katanya, senarai semasa jabatannya termasuk beberapa pendakwah dari Asia Barat dan negara Afrika.

Ayob turut menyentuh mengenai pendakwah Singapura, Rasul Dahri, 64, yang ditahan kali ketiga, tahun lalu.

Dia aktif di Lembah Klang dan Johor selama beberapa tahun walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan dan jabatan Agama Islam Pahang mengharamkan 7 bukunya.

Selain itu, suspek keganasan Mas Selamat Kastari dari Singapura, yang ditahan polis Malaysia pada April 2009 selepas lebih setahun lari daripada tahanan di negaranya.

Ayob berkata Mas mengikut kelas Rasul Dahri di Johor antara 1987 dan 1989 sebelum menyertai Jemaah Islamiyah (JI).

Memetik contoh lain, Ayob berkata ketua JI Abu Bakar Bashir and Abdullah Sungkar berjaya menyelinap masuk ke Malaysia pada 1985 kerana kurangnya pemantauan jabatan agama.

“Ini menyebabkan hampir 300 rakyat Malaysia dan negara Asia lain direkrut sebagai ahli JI,” katanya.

Ayob berkata Jabatan Agama Islam Johor antara yang paling tegas di negara ini dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Ia sangat tegas dan tidak akan membenarkan pendakwah tanpa tauliah dan kelulusan untuk mengajar di negeri itu,” katanya.

Ayob juga memuji jabatan agama di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak kerana tegas dalam melakukan penguatkuasaan.

Pakar pencegahan keganasan dari Universiti Malaya semalam berkata jabatan agama perlu bekerja lebih keras dalam menapis aktiviti pendakwah di negara ini untuk menyekat penyebaran ideologi “salafi jihadi”.

Balakrishnan RK Suppaiah berkata memantau ideologi ekstremisme bukan mudah, tetapi Malaysia boleh melakukannya kerana ia mempunyai “asas betul” dan pasukan polis yang bagus.

“Orang akan mempertikaikan anda kerana memantau tempat ibadat. Tetapi kita perlu melakukannya kerana kita negara yang sederhana,” katanya.