22,000 Rohingya larikan diri dalam seminggu

rohingnya-UN

Yangon: Sekurang-kurangnya 65,000 Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh, satu pertiga daripadanya minggu lalu, sejak tentera melancarkan kekerasan di utara negeri Rakhine, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Angka tersebut menandakan kemelaratan dalam jumlah mereka yang melarikan diri daripada kempen ketenteraan yang menurut kumpulan hak asasi manusia dicemari pencabulan berupa jenayah kemanusiaan.

Pelarian tiba pada hari wakil hak asasi manusia PBB di Myanmar, Yanghee Lee, memulakan lawatan 12 hari ke kawasan kawalan tentera untuk menyiasat keganasan di daerah sempadan negara itu.

“Pada minggu lepas, 22,000 pelarian baharu dilaporkan menyeberangi sempadan dari negeri Rakhine,” kata agensi bantuan PBB dalam laporan mingguannya.

Setakat 5 Januari, dianggarkan 65,000 orang mendiami kem berdaftar, penempatan sementara dan masyarakat tuan rumah di Cox Bazaar di selatan Bangladesh, kata Jabatan Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan.

Penghijrahan Rohingya dari utara Rakhine bermula selepas tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan sementara mencari pemberontak yang mendalangi serbuan berdarah ke atas pos kawalan polis 3 bulan lalu.

Pelarian daripada minoriti Islam di Bangladesh berkongsi kisah ngeri pasukan keselamatan melakukan jenayah rogol, pembunuhan dan pembakaran.

Ia menyulitkan kerajaan Aung San Suu Kyi.

Kerajaan Myanmar berkata dakwaan pencabulan itu suatu rekaan dan melancarkan suruhanjaya khas untuk menyiasatnya.

Minggu lepas jawatankuasa tersebut membentangkan laporan dalaman menafikan tuduhan “pembunuhan beramai-ramai dan penindasan agama” dan berkata tiada bukti yang mencukupi membuktikan askar Myanmar melakukan perogolan beramai-ramai.

Keputusan itu dibentangkan beberapa hari selepas satu rakaman video memaparkan polis memukul warga Rohingya, yang menurut pihak kerajaan satu kejadian terpencil selepas anggota terbabit ditangkap.

Yanghee Lee memulakan siasatannya semalam dengan melawat negeri Kachin, di mana ribuan hilang tempat tinggal akibat pertempuran antara pemberontak dan tentera.

Lee, yang pernah berdepan ancaman dan tunjuk perasaan dalam lawatannya sebelum ini berhubung kenyataan beliau berkenaan layanan Myanmar ke atas masyarakat Rohingya, dijangka melawat Rakhine sebelum meninggalkan negara itu pada 20 Januari.

Sami Buddha Wirathu mencetuskan kemarahan apabila menggelarnya “perempuan jalang” kerana mengkritik undang-undang kontroversi yang dianggap mendiskriminasikan perempuan dan minoriti.