Timbalan menteri: Pengetua tak boleh halang pelajar ikuti kelas bahasa Cina

chong-sin-woon_sekolah_cina_600

PETALING JAYA: Pengetua tiada hak menghalang pelajar mengikuti kelas bahasa Cina dengan alasan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mereka tidak baik, kata timbalan menteri pendidikan.

Chong Sin Woon yang dipetik Sin Chew Daily berkata, arahan itu tidak menepati matlamat pendidikan kerana pelajar bebas memilih mata pelajaran yang mereka mahu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Connaught di Cheras yang didakwa melarang pelajar tidak mendapat keputusan A, B dan C dalam PT3 mengikuti kelas bahasa Cina kerana mahu pelajar terbabit menumpukan masa terhadap mata pelajaran utama bagi mendapatkan keputusan baik.

Chong berkata, isu itu kini selesai susulan campur tangan nazir di Pejabat Pendidikan Kuala Lumpur.

Pemangku Presiden Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng Hong Chai dipetik akhbar sama berkata, pihaknya menghubungi nazir di Pejabat Pendidikan Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuannya selepas menerima aduan ibu bapa minggu lalu kerana persatuan ibu bapa dan guru gagal mencapai persetujuan dengan pengetua menerusi beberapa perbincangan.

“Selepas campur tangan nazir, pengetua bersetuju menarik balik arahan itu.”

Heng mengakui isu itu pernah berlaku sebelum ini, tetapi berharap ia tidak akan berulang lagi dan pihak sekolah meningkatkan sensitiviti mereka kerana Chong sudah mengumumkan bahasa Cina disenaraikan sebagai mata pelajaran tambahan dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).