Parti politik Austria cuba pikat Yahudi dengan sentimen anti Islam

FPO-Heinz-Christian-Strache

VIENNA: Enam dekad selepas ditubuhkan oleh bekas pendokong Nazi, Parti Kebebasan Austria (FPO) kini cuba mendekati pengundi Yahudi negara itu dengan harapan pendirian anti-Islamnya disambut baik.

Ketua FPO Heinz-Christian Strache turut menggesa orang ramai menolak “politik Islam yang bertujuan menguasai dunia”.

“Jika Israel sebagai sebuah negara terancam dan tidak lagi wujud, itu adalah permulaan kejatuhan Eropah,” katanya dipetik Reuters.

Tahun lepas, calon FPO hampir menang jawatan presiden Austria.

Ia turut memecat ahlinya yang tidak mendokong sentimen anti-Islam, termasuk seorang wakil rakyatnya pada 2015.

Antara langkah agresif FPO mendekati komuniti Yahudi ialah lawatan Strache ke memorial Yad Vashem Holocaust di Baitulmuqaddis, sebuah memorial ditubuhkan Israel bagi memperingati mangsa Nazi.

Bagaimanapun, parti itu masih gagal memenangi hati Komuniti Yahudi Vienna (IKG), badan utama mewakili Yahudi Austria.

“Beberapa komen baik tentang Israel tidak akan menghalalkan parti ini,” kata presiden IKG, Oskar Deutsch.

“FPO pada zaman lampau dan juga pada masa kini adalah masih xenofobia dan pemimpinnya cuba melaga-lagakan penduduk Austria antara satu sama lain.”

FPO adalah salah satu daripada sayap kanan yang cuba menunggang gelombang populis – berbaik dengan negara-negara Barat dengan harapan untuk menyertai sepenuhnya arus perdana politik.

Pemimpin Barisan Nasional Marine Le Pen, yang dijangka menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihan raya presiden Perancis tahun ini, telah mengikuti jalan yang sama.
Walaupun dengan taktik ini, undi Yahudi tidak mungkin mengubah keputusan pilihan raya Austria kerana saiz komuniti yang kurang daripada 10,000 di negara yang mempunyai 8.7 juta penduduk itu.