BN menang besar jika balu Adenan jadi calon

awang-pawi-jamilah-anu-bn-1

PETALING JAYA: Penganalisis politik meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kemenangan besar jika meletakkan Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon di kerusi Tanjung Datu, yang kosong selepas kematian penyandangnya yang juga ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem minggu lalu.

Jamilah ialah balu Adenan.

Profesor madya di Universiti Malaya, Dr Awang Azman Pawi berkata Jamilah mempunyai pengalaman luas dalam kehidupan masyarakat dan semua orang tahu beliau ialah wanita yang banyak menyokong kejayaan politik Adenan.

“Jika beliau bertanding di Tanjung Datu, beliau akan sama ada menang tanpa bertanding atau memperoleh kemenangan besar,” katanya.

Menurut laporan berita, Jamilah ialah salah seorang calon yang sedang dipertimbangkan pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk bertanding di kerusi itu.

Awang Azman berkata jika Jamilah menang dalam pilihan raya kecil (PRK) itu, ketua menteri perlu mempertimbangkan beliau untuk jawatan menteri muda kerana kelayakannya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Jeniri Amir berkata BN akan menang mudah dalam PRK bagi kerusi Tanjung Datu, walau siapa pun yang dicalonkan untuk bertanding.

“Ia kubu kuat PBB di kawasan luar bandar. Dengan undi simpati, pastinya kemenangan 100% untuk BN,” katanya.

Jeniri berkata selain Jamilah ada beberapa calon lain yang layak bertanding di situ dan salah seorang daripadanya ialah Azmi Bujang.

Azmi, yang juga pengarah Yayasan Sarawak ialah setiausaha sulit kepada Adenan.

“Beliau faham aspirasi Adenan untuk Sarawak,” katanya.

Beliau turut mencadangkan anak lelaki Adenan iaitu Azizul Anwar sebagai calon, yang dikatakan berpendidikan tinggi dan digemari ramai kerana sikapnya yang rendah diri.

“Azizul berpengalaman di unit perancangan negeri. Malah, beliau mewakili generasi baharu pemimpin Sarawak. Beliau ada bakat dalam politik dan saya percaya akan menang besar jika bertanding di Tanjung Datu,” katanya.

Adenan meninggal dunia pada Rabu lalu kerana komplikasi jantung. Semasa hayatnya, beliau mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya negeri pada Mei tahun lalu dan menang besar dengan berjaya mendapatkan 72 daripada 82 kerusi negeri.

Beliau memenangi Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi.