Chong Wei intai posisi jurulatih selepas bersara

 

Lee-Chong-WeiPETALING JAYA: Datuk Lee Chong Wei sedang meneliti kemungkinan menjadi sebahagian skuad jurulatih badminton kebangsaan selepas bersara, kata pemain nombor satu dunia itu berkata dalam satu wawancara video yang disiarkan di Facebook Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Khamis lepas.

Selepas cabaran Sukan Olimpik Rio tahun lepas, di mana Chong Wei memperoleh pingat perak ketiganya dan sebelum ini pernah berkata Kejohanan Dunia pada Ogos tahun ini adalah yang terakhir, beliau berkata masih mempunyai beberapa tahun untuk beraksi.

“Saya bersama pasukan badminton Malaysia selama 17 tahun. Hanya beberapa tahun sahaja lagi dan saya ingin menikmatinya sehingga bersara.

“Adakah saya akan bersama pasukan Malaysia sebagai jurulatih? Saya percaya akan terlibat dalam sukan itu. Walaupun saya masih tidak mempunyai sebarang perancangan lagi,” kata Chong Wei dalam temu bual yang merupakan sebahagian siri Badminton Unlimited BWF.

Bernama melaporkan pada 8 Januari Chong Wei mengintai gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos sebelum bersara.

Juara kebangsaan itu berkata 2017 adalah tahun terakhir baginya untuk merealisasikan impian memenangi kejohanan itu yang setakat ini belum dimiliki.

Chong Wei juga dilaporkan berkata pada September lalu, walaupun Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah satu kemungkinan, sekiranya BWF menukar format 21 mata daripada 3 set (21×3) kepada 11 mata daripada 5 set (11×5).

Bagaimanapun, Kejohanan Dunia masih menjadi matlamat utamanya pada masa ini, terutama selepas selesai muncul naib juara dalam 3 edisi terakhir – tewas kepada Lin Dan dari China pada 2011 dan 2013 dan rakan senegara Lin Dan, Chen Long pada 2015.

Permain yang sama juga mengalahkan beliau dalam 3 perlawanan akhir Sukan Olimpik – Lin Dan di Beijing 2008 dan London 2012, dan Chen Long di Rio 2016.
Katanya, beliau juga akan memutuskan berapa lama untuk melanjutkan kerjayanya selepas Kejohanan Dunia pada Ogos nanti.

“Saya fikir ini mungkin menjadi Kejohanan Dunia terakhir saya. Sukan Olimpik mengambil banyak masa dan tumpuan saya. Rio juga penampilan terakhir saya dalam Olimpik. Empat Sukan Olimpik berjaya saya sertai sepanjang tempoh 16 tahun karier.

“Jadi, saya akan menilai semula keadaan fizikal saya selepas Kejohanan Dunia 2017. Jika semuanya berjalan lancar, saya akan terus bermain pada 2018.”

Pemain pengganti

Ditanya mengenai pengganti berpotensi sebagai pemain nombor satu di Malaysia, Chong Wei mengakui Iskandar Zulkarnain semestinya menjadi pilihan dengan kedudukannya sebagai pemain nombor 2 negara sekarang.

Bagaimanapun, Chong Wei percaya ia akan menjadi sukar bagi mana-mana pemain Malaysia untuk sampai kepada kedudukannya sekarang dan cuba menyamai pencapaian beliau.

“Apabila saya bersara, Iskandar jelas menjadi pengganti saya sebagai pemain pada kedudukan ke-2 teratas. Beliau mempunyai potensi menjadi antara 10 pemain teratas,” kata Chong Wei kepada Badminton Unlimited.

“Tetapi untuk menjadi seorang lagi Lee Chong Wei adalah sukar. Ia bukan sahaja dialami Malaysia.”

“China, Indonesia dan Denmark juga menghadapi situasi yang sama. Ia amat sukar menghasilkan seorang lagi Lin Dan di China, Peter Gade di Denmark dan Taufik Hidayat di Indonesia,” katanya, sambil menambah pencarian pemain sebaik Lee Chong Wei akan mengambil masa dan kesabaran.

“Kita mempunyai ramai pemain berbakat di Malaysia. Tetapi sebahagian mereka tidak mempunyai cita-cita dan keberanian untuk bermimpi dan menjadi yang terbaik. Saya masih ingat ketika muda, saya sudah menetapkan sasaran yang besar, sama ada semasa latihan atau pertandingan. Saya mahu melaksanakan apa sahaja jurulatih kata dengan sebaik mungkin dan melakukannya lebih baik daripada orang lain.”

Chong Wei idam kejuaraan dunia sebelum bersara