Iran berjaya patuhi tarikh akhir perjanjian nuklear, kata agensi PBB

iran-nuclear

VIENNA: Agensi nuklear PBB berkata Iran berjaya mematuhi tarikh akhir perjanjian dengan negara kuasa dunia dengan mengeluarkan ratusan pengempar, mesin yang digunakan untuk pengkayaan uranium, daripada tapak yang tertanam dalam sebuah gunung.

Perjanjian yang dicapai Iran dengan 6 negara pada 2015 menyatakan tiada lagi kegiatan pengkayaan uranium dapat dilakukan di kubu bawah tanah Fordow, berhampiran kota suci Qom, selama 15 tahun.

Namun perjanjian itu membenarkan Iran menyimpan kira-kira 1,000 pengempar di sana bagi tujuan lain.

Pengumuman yang dibuat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Isnin lalu itu pastinya dialu-alukan ramai diplomat yang masih tertanya-tanya bagaimana bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pengkritik lantang perjanjian itu, akan menangani sebarang masalah yang mungkin timbul nanti.

Menurut IAEA, pemindahan pengempar dan peralatan lain di Fordow ke pusat penyimpanan di sebuah lagi pusat pengkayaan bawah tanah di Natanz selesai mengikut batas masa setahun daripada perjanjian itu dimeterai, iaitu 16 Januari 2016.

“Iran mengeluarkan infrastruktur dan pengempar lebihan di Pusat Pengkayaan Tenaga Fordow selaras dengan komitmen berkaitan nuklear mereka di bawah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPoA),” kata IAEA dalam satu kenyataan.

Badan yang bertanggungjawab memantau sekatan yang dikenakan perjanjian itu terhadap kegiatan nuklear Iran berkata lagi, mereka mengesahkan yang langkah itu dilaksanakan sepenuhnya Ahad lalu.

Dengan majlis angkat sumpah Trump yang dijadualkan Ahad ini, pegawai yang mengikuti isu ini secara rapat berkata mereka menunggu pendirian yang akan diambil Trump berhubung perjanjian itu, yang turut membatalkan sekatan antarabangsa terhadap Iran.

Perjanjian itu merupakan antara pencapaian utama pentadbiran Barack Obama.

Trump sebelum ini menyifatkannya “perjanjian paling teruk yang pernah dibuat”. Beliau namun menarik balik kenyataannya untuk menamatkan perjanjian itu, dan baru-baru ini berkata akan “memantau kontrak dengan cukup tegas sehingga mereka (Iran) tidak mendapat sebarang peluang.”

Ia menimbulkan persoalan apakah reaksi beliau jika Iran terus menguji batas perjanjian itu. Sejak ia berkuatkuasa Januari lalu, Iran melepasi had 130 tan stok air berat (sejenis air yang digunakan sebagai moderator dalam reaktor) sebanyak 2 kali, mengundang kritikan daripada AS.

Iran berpandangan AS gagal melaksanakan penamatan sekatan secara sepenuhnya yang dinyatakan perjanjian, dakwaan yang dinafikan AS.