Fahmi Reza dibenar Mahkamah Tinggi terus cabar pertuduhan

fahmiredzaKUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak bantahan timbalan pendakwa raya atas permohonan aktivis dan pelukis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 39, untuk membatalkan pertuduhan memuat naik gambar menyerupai perdana menteri di akaun Instagramnya, Januari lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menolak bantahan awal timbalan pendakwa raya, Ahmad Nazneen Zulkifli dengan sebab Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Fahmi untuk membatalkan pertuduhan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Februari ini untuk mendengar penghujahan permohonan Fahmi untuk membatalkan pertuduhan itu.

Sebelum itu, timbalan pendakwa raya memberi alasan mahkamah tinggi perlu membatalkan permohonan Fahmi atas alasan kesemua usul yang diajukan tidak menepati kehendak sebarang peruntukan undang-undang berkenaan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Beliau juga berkata kesemua persoalan yang diajukan boleh diputuskan oleh Mahkamah Bicara iaitu Mahkamah Sesyen dan sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen boleh merayu di Mahkamah Tinggi.

Peguam, Syahredzan Johan yang mewakili Fahmi menjelaskan kepada pemberita Mahkamah Tinggi setuju dengan penghujahan mereka bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan pertuduhan.

“Mahkamah ini (Mahkamah Tinggi) yang sebenarnya mempunyai bidang kuasa. Sebab Mahkamah Rendah tidak ada bidang kuasa untuk membatalkan pertuduhan.

“Hakim telah memutuskan mahkamah ini ada bidang kuasa untuk mendengar pertuduhan,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 6 Jun tahun lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar menyerupai perdana menteri bertujuan menyakitkan hati orang lain, di akaun Instagramnya.

Tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Instagram “kuasasiswa” di suatu pautan secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 31 Januari lepas.

Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di satu alamat di Bandar Bukit Puchong 2, Puchong, Selangor, pada 6 petang, 1 Februari lepas.

Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.