Semua suspek serangan Bukit Antarabangsa ditahan

lorry-driver

PETALING JAYA: Semua suspek yang terbabit dalam kes menyerang seorang pemandu lori di Bukit Antarabangsa 14 Februari lepas berada dalam tahanan polis.

Menurut polis, 4 orang lelaki dan 1 orang perempuan, berusia 20 hingga 30an, ditahan dalam operasi di Negeri Sembilan, serta Kepong dan Kajang di Selangor, malam tadi.

Kesemua suspek direman sejak pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff dilaporkan berkata polis sedang mencari beberapa rakan suspek untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu lori dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang.

Kejadian berlaku selepas lori yang sedang diundurkan terlanggar sebuah kereta Mercedes Benz, yang dikatakan milik seorang lelaki bergelar “Datuk”.

Rakaman video kejadian menjadi tular sejak dimuatnaik ke internet.

Minggu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis Ampang supaya memastikan penyerang tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Walaupun penyerang dan mangsa bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu sesama mereka, polis tidak akan melepaskan mereka kerana “negara ada undang-undang untuk melindungi orang yang tidak bersalah daripada menjadi mangsa”.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Hamzah Alias berkata semua suspek disiasat kerana merusuh.