AirAsia nafi kaitan dengan skandal rasuah Rolls-Royce

air-asia-rolls-royce-1PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia menafikan dakwaan rasuah dikaitkan dengan siasatan suapan baru-baru ini yang menyaksikan Rolls-Royce membayar denda AS$808 juta kepada pihak berkuasa di 3 negara, lapor Financial Times (FT).

Siasatan Pejabat Penipuan Serius (SFO) di United Kingdom (UK) yang membawa kepada pembuat enjin pesawat itu mengakui pembayaran rasuah lebih AS$35 juta untuk mendapatkan kontrak, juga mendakwa pekerja Rolls-Royce merasuah seorang eksekutif AirAsia dengan memberi diskaun AS$3.2 juta (RM14.2 juta) untuk penyelenggaraan jet peribadi milik Tune Group.

Dalam penyiasatannya, SFO UK mendakwa Rolls-Royce tidak menghalang kakitangannya menawarkan diskaun kepada seorang eksekutif AirAsia, “walaupun pekerja (Rolls-Royce) percaya akibatnya ialah eksekutif AirAsia itu berhasrat melakukan fungsi berkaitan secara tidak wajar.”

Menurut FT, SFO mendakwa permintaan “diskaun” dibuat eksekutif AirAsia itu sebagai balasan untuk “lebih memihak” kepada Rolls-Royce dalam pembelian produk dan perkhidmatan.

Syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Sepang itu dalam maklum balasnya terhadap dakwaan itu berkata, ia “mematuhi semua prosedur” untuk mendapatkan diskaun daripada Rolls-Royce dalam penyelenggaraan jet persendirian yang digunakan eksekutif tertingginya bagi tujuan perniagaan.

Menurutnya, kredit digunakan untuk mengimbangi kos operasi jet korporat yang digunakan eksekutif kanan AirAsia X – sayap jarak jauh syarikat penerbangan itu.

“Lembaga pengarah dan pengurusan AirAsia serta AirAsia X dimaklumkan pada setiap masa transaksi berkaitan jet, penyenggaraan yang turut dinyatakan dengan jelas dalam laporan tahunan bagi kedua-dua syarikat serta prospektus tawaran awam permulaan AirAsia X ,” kata syarikat penerbangan itu dipetik FT.

Rolls-Royce membayar AS$808 juta bagi memastikan mereka tidak berdepan pendakwaan lanjut, selagi ia mematuhi syarat penyelesaian.

Bagaimanapun, FT melaporkan penyiasat UK dan AS dijangka mendakwa individu dalam Rolls-Royce pada bulan akan datang.

Menurut FT, satu lagi aspek dalam dakwaan ini ialah diskaun yang diberikan Rolls-Royce bertepatan dengan rundingan AirAsia dan pengeluar pesawat, di mana pesawatnya turut dilengkapi enjin Rolls-Royce dan syarikat British itu akan menawarkan khidmat penyelenggaraan.

Siasatan SFO UK turut mendakwa tujuan bagi diskaun itu hanya dimaklumkan kepada seorang pekerja kanan AirAsia.

Dalam pembelaannya, Rolls-Royce menunjukkan satu mesej kepada SFO UK mengenai amaran jabatan kepatuhan berhubung penawaran diskaun itu dan berkata ia tidak boleh memenuhi kadar diminta eksekutif AirAsia itu untuk pesawat peribadi hanya disebabkan perniagaan kedua-dua syarikat.

“Kedua-duanya tidak harus dikaitkan seperti mereka boleh berbuat demikian berdasarkan implikasi undang-undang dan etika,” kata jabatan kepatuhan Rolls-Royce yang dipetik FT.

Minggu lalu, siasatan dimulakan di Thailand dan Indonesia berkaitan eksekutif syarikat penerbangan di 2 negara terbabit yang dikaitkan dengan skandal rasuah Rolls-Royce.