Jadikan Rukun Negara sebahagian Perlembagaan, kata aktivis

chandra

KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat hari ini melancarkan kempen untuk menjadikan 5 prinsip Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan itu menamakan diri mereka “Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan”.

Aktivis veteran dan Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar berkata, langkah itu akan menjadikan Rukun Negara lebih relevan.

“Memang benar tak ada usaha sebelum ini untuk kaitkan Rukun Negara dengan Perlembagaan. Seolah-olah ini adalah 2 dokumen berasingan, walhal pada prinsipnya ada hubungannya kerana Rukun Negara sebenarnya ialah intipati Perlembagaan kita.

“Rukun Negara umpama ‘lip service’ sejak 40 tahun yang lalu. Saya berpendapat masalah bukan bahasanya. Masalahnya tiada iltizam politik pada pihak yang berkuasa, berpengaruh untuk menterjemahkan Rukun Negara ini dalam dasar, program. Ini yang menjadi masalah,” kata Chandra selepas melancarkan inisiatif itu di Institut Integriti Malaysia hari ini.

Turut hadir ialah aktivis Marina Mahathir, bekas pengarah eksekutif Sisters In Islam Zainah Anwar, pensyarah undang-undang Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, peguam Firdaus Husni, Prof Madya Dr Madeline Berma dan Prof Dr Tan Chong Tin.

Rukun Negara mempunyai 5 prinsip yang diperkenalkan ekoran rusuhan pada 1969, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

Chandra menyifatkan sikap rakyat terhadap undang-undang di negara ini umpama “sleepwalking” dan tidak cukup untuk pelajar sekadar menghafal Rukun Negara.

“Adakah rakyat mengambil berat tentang lelaki dan wanita menaiki motosikal atau isu ‘hot dog’ ketika itu?” soalnya merujuk tindakan pihak berkuasa agama menahan pasangan bukan muhrim yang berkongsi motosikal di Terengganu dan kontroversi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai kaedah pensijilan halal.

“Orang ramai dalam keadaan ‘sleepwalking’ dan tidak sedar apa yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kempen itu bertujuan mendapatkan sokongan ahli Parlimen daripada parti pemerintah dan pembangkang, sebelum mengusulkannya di Mesyuarat Majlis Raja-raja.

“Kami mahu menguji ahli-ahli Parlimen, sama ada mereka bersedia menegakkan undang-undang.”

Petisyen dalam talian menyokong kempen ini boleh didapati di rmp.yayasan1malaysia.org.