Vape boleh ‘umpan’ remaja merokok, kata kajian AS

smoke--vapeSAN FRANCISCO: Kajian Universiti California di San Francisco mendapati rokok elektronik atau vape lebih cenderung “mengumpan” generasi muda yang tidak mungkin menghisap rokok tembakau untuk memulakan tabiat merokok.

Kadar perokok di kalangan belia semakin merosot sepanjang dekad lalu, tetapi penurunan itu tidak ketara selepas vape diperkenalkan di pasaran AS pada 2007, lapor penyelidik dalam jurnal Pediatrics.

“Ada bukti kukuh menunjukkan rokok elektronik boleh dikaitkan dengan pengurangan tabiat merokok, tetapi ia tidak membawa kepada pemberhentian tabiat tersebut,” kata Dr Stanton Glantz, pengarah Pusat Kajian Kawalan dan Pendidikan Tembakau di Universiti California, San Francisco.

“Hakikatnya, kebanyakan pengguna rokok elektronik menghisap rokok tembakau dan rokok elektronik pada masa sama.”

Sejak beberapa dekad lalu, pakar kesihatan awam berbahas sama ada vape dapat membantu perokok berhenti merokok, sekurang-kurangnya menjadi alternatif lebih selamat atau ia lebih cenderung membuatkan generasi muda terjebak dalam ketagihan nikotin.

Penyelidik menganalisis maklumat kajian yang dikumpul daripada lebih 140,000 pelajar sekolah menengah rendah dan tinggi dari 2004 hingga 2014.

Keputusan menunjukkan remaja yang dilaporkan merokok berkurangan daripada 40% kepada 22%, manakala belia yang menjadi perokok turut merosot daripada 16% kepada 6%.

Bagaimanapun, perokok remaja tidak berkurangan secara mendadak selepas vape diperkenalkan di AS pada 2007 hingga 2009 dan kombinasi penggunaan rokok elektronik dan rokok biasa di kalangan remaja pada 2014 lebih tinggi daripada keseluruhan rokok yang dihisap pada 2009.

Kajian itu turut melihat kepada ciri yang mungkin menjadikan remaja lebih berisiko terjebak tabiat merokok, seperti tinggal bersama perokok atau memakai pakaian berimej produk atau logo tembakau.

“Remaja yang menggunakan rokok elektronik lebih cenderung mula merokok,” kata Dr Thomas Wills, pengarah interim Program Pencegahan dan Kawalan Kansert di Universiti Kanser Hawaii di Honolulu.

Beliau berkata, penyokong rokok elektronik cuba berhujah remaja menghisap vape adalah golongan berisiko tinggi yang akan merokok akhirnya dan penggunaan vape tiada kaitan dengan tabiat merokok.

“Beberapa kajian kini menumpukan secara khusus terhadap hipotesis itu.

“Dalam setiap kes itu, keputusan empirik bertentangan hipotesis membingungkan. Jadi, kita yakin kesan rokok elektronik akan menyumbang kepada tabiat merokok adalah kesan sebenar dan bukan disebabkan sekumpulan orang yang berisiko tinggi.”