KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata sekiranya program pemberian kad sementara (E-Kad) tidak diselia dengan komprehensif, program itu akan menyebabkan kebanjiran lebih parah pekerja asing.
Ini kerana program itu dikhuatiri boleh memberi persepsi yang salah kepada pendatang asing tanpa izin (Pati), selain diambil kesempatan oleh Pati.
“Kita telah menjadi sebuah negara yang menerima PATI dengan memberi peluang untuk memperoleh permit tanpa mereka perlu balik ke negara asal mereka, sedangkan mereka sepatutnya diburu dan ditangkap.
“Apabila Pati dihalalkan dan diterima dengan mudah, tidak mustahil mereka akan mengajak keluarga dan rakan taulan masuk ke negara ini secara haram kerana akhirnya mereka akan dihalalkan,” kata Presiden MTUC Abdul Halim Mansor.
“Mereka tidak khuatir untuk masuk ke sini kerana sifat kerajaan Malaysia yang terlalu berlembut.”
Program pemberian e-kad kepada Pati bermajikan, yang bakal menukar status mereka daripada pekerja haram kepada yang sah, dibuat sebagai langkah memenuhi keperluan sektor pekerjaan.
Bagi Abdul Halim, Pati secara asasnya penjenayah kerana secara terang menceroboh sempadan negara, maka tidak sepatutnya diterima di negara ini.
“Pati melanggar undang-undang dan kedaulatan negara apabila masuk ke sini secara haram, maka mengapa perlu dihalalkan…langgar peraturan tetapi seolah-olah diberi anugerah?.
“Tanpa dokumen sah, kita tidak tahu asal usul sebenar dan latar-belakang warga asing itu…mungkin dia terlibat dalam jenayah ataupun aktiviti pengganas…maka apabila kita terima Pati, kita kena bersedia dengan pelbagai perkara negatif yang mungkin boleh berlaku,” katanya.
Kerajaan juga seharusnya mencari langkah jangka panjang yang lebih berkesan bagi mengusir Pati dan pada masa sama menggerunkan mereka yang berniat untuk datang secara haram.
Persaingan untuk memperoleh pekerjaan antara pendatang asing dan rakyat tempatan dalam pelbagai sektor juga antara isu membimbangkan, memandangkan majikan lebih cenderung memilih pekerja asing atas pelbagai faktor.
“Perlu pastikan tidak berlakunya diskriminasi terhadap rakyat tempatan memandangkan gaji mereka lebih mahal daripada pekerja asing, malah mempunyai skim perlindungan pekerja yang baik termasuklah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).
“Ramai rakyat tempatan yang memerlukan kerja terutamanya mereka yang dari Sabah dan Sarawak…seharusnya kriteria anak tempatan diberi keutamaan oleh majikan terlebih dahulu dalam pengambilan pekerja,” katanya.
Majikan yang menggajikan Pati juga sewajarnya menyatakan di mana atau bagaimana mereka memperoleh pekerja haram terbabit, selain sepatutnya dikenakan penalti sekiranya sengaja menggajikan pekerja tanpa permit sah.
“Kerajaan tidak seharusnya tunduk dengan permintaan majikan dengan mencari jalan singkat…impak perkara ini sepatutnya dikaji dengan lebih mendalam oleh Kementerian Dalam Negeri bersama-sama dengan kementerian berkaitan termasuklah Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan tidak akan berlakunya kepincangan dalam perlaksanaan.
“Apabila ia dilaksana pula, bagaimana kerajaan hendak pastikan majikan-majikan ini nanti membayar gaji minimum kepada pekerja asing mereka dan majikan tidak mendiskriminasi mereka?,” katanya.
Abdul Halim turut mencadangkan agar khidmat orang tengah iaitu agensi pekerjaan dalam membekalkan tenaga pekerja asing dilupus dan digantikan dengan sistem di mana majikan memohon secara terus dan mendaftarkan pekerja asing mereka sendiri.
“Dengan cara itu kerajaan boleh terus berurusan dengan syarikat atau majikan dan boleh ambil pekerja asing tanpa agensi pembekal pekerja…kemudiannya adakan kontrak dan skim perlindungan pekerja…jadi pekerja asing tidak boleh lari dan bekerja di tempat lain,” katanya.
Berbeza pendapat dengan Halim, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein menyifatkan program itu pendekatan menang-menang bagi majikan dan juga Pati.
Beliau berpendapat ia mampu menyelesaikan masalah mencari pembantu rumah asing apabila boleh menggajikan Pati dan menjimatkan kos pengambilan yang kini mencecah harga yang amat tinggi.
Apabila ditanya bukankah langkah ini akan menyebabkan lambakan Pati, beliau menjawab; “Sekarang pun sudah wujud lambakan Pati. Masalah bukan kerana Pati tetapi daripada kelemahan dan kekangan pentadbiran.”
Bagaimanapun, beliau mengakui penyelesaian itu terhad untuk jangka pendek sahaja dan tidak sihat jika diteruskan dalam jangka panjang terutamanya melebihi 3 tahun.
“Pihak berwajib kena rangka satu dasar yang konkrit dan bersepadu mengenai tenaga kerja asing di masa hadapan sejajar dengan hala tuju sosio-ekonomi negara, terutamanya berkaitan kebajikan, peranan dan sumbangan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Dalam, jangka panjang negara perlu mengutamakan tenaga kerja tempatan kerana Patu membawa risiko keselamatan dalam negara sama ada daripada sudut sosial, kesihatan, penempatan dan pemerdagangan manusia.
“Ini boleh dikira melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)…malah barangan eksport keluaran negara kita juga mungkin dipulaukan oleh Barat kerana kemungkinan majikan menindas Pati demi persaingan kos,” katanya.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali sebelum ini berkata, permohonan e-Kad yang berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah akan dibuka dari 15 Februari sehingga 30 Jun, di semua pejabat imigresen di Semenanjung Malaysia.
Program itu terbuka hanya kepada Pati di Semenanjung dan hanya kepada mereka yang mempunyai majikan tergolong dalam 5 sektor ekonomi yang dikenalpasti memerlukan pekerja asing iaitu sektor pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.
Imigresen tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah atau agen dalam permohonan e-kad, sebaliknya majikan dan pekerja asing perlu hadir di pejabat Imigresen bersama dokumen yang diperlukan dan kad berkenaan adalah percuma.
Dianggarkan antara 400,000 dan 600,000 Pati akan mengambil peluang untuk berdaftar dalam program itu.