PAS: Kerajaan DAP-PKR campuri proses fatwa

fauzi-fatwa-penang

GEORGE TOWN: PAS hari ini menuduh kerajaan Pulau Pinang mencampuri proses penfatwaan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof berkata kerajaan DAP-PKR mengarahkan semua fatwa perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu sebelum diluluskan sebagai fatwa.

Mengikut undang-undang negeri, jawatankuasa boleh mengeluarkan fatwa yang perlu dipersembahkan kepada Agong untuk diperkenankan, sebelum diwartakan sebagai fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004.

Fauzi berkata campur tangan kerajaan DAP-PKR bertentangan dengan Seksyen 48 enakmen yang menyatakan semua fatwa yang dikeluarkan di Pulau Pinang perlu dipersembahkan kepada Agong untuk dipertimbangkan.

Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri tidak beraja, seperti Pulau Pinang.

“PAS semasa di dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan bantahan secara tertutup kepada Exco Hal Ehwal Islam Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

“Namun, sehingga kini, amalan campur tangan dalam proses penfatwaan masih berlaku. Fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa perlu dimaklumkan kepada MMKN yang dipengerusikan ketua menteri terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Agong.

“Keadaan ini seolah-olah menjadikan MMKN yang dipengerusikan ketua menteri lebih berkuasa daripada jawatankuasa fatwa negeri dalam hal ehwal hukum orang Islam.

“Ini secara tidak langsung meletakkan fungsi mufti dan Agong lebih rendah daripada sepatutnya mengikut enakmen,” kata Fauzi pada sidang media di markas tarbiah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas hari ini.

Fauzi mendakwa terdapat fatwa yang ditangguhkan kerajaan Pulau Pinang.

“Berdasarkan maklumat, terdapat fatwa yang telah ‘dibekukan’ oleh kerajaan negeri dan tidak dipersembahkan kepada Agong, kerana tidak mengikut selera DAP dan PKR,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Hafnan Hamimi Taib Azamudden berkata MMKN menangguhkan banyak fatwa.

Antaranya fatwa melarang orang Islam mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik, katanya.

“Fatwa ini ditangguh dan dibekukan. Dalam pertemuan jawatankuasa fatwa dengan Malik, beliau ditanya soalan ini. Dia (Malik) kata kerajaan negeri berhak menangguhkan mana-mana fatwa berdasarkan situasi politik dan suasana di Pulau Pinang.

“Jawatankuasa fatwa institusi yang tinggi di Pulau Pinang, jadi apabila fatwa yang dibuat secara bersama dalam kalangan anggotanya, dan ditangguhkan oleh kerajaan negeri, khususnya DAP dan PKR, (maka) mereka merendahkan institusi itu.

“Agong kena perkenan fatwa,” katanya.

FMT cuba menghubungi Mufti Datuk Wan Walim Wan Mohd Noor dan Malik dan menunggu jawapan mereka.