‘Kerjasama tentera Malaysia-AS diteruskan di bawah Trump’

Hishammuddin-trump

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan yakin kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) tidak akan terjejas di bawah pentadbiran presiden baru, Donald Trump.

Ia di sebalik wajah baru kuasa dunia itu yang dilihat mengambil pendekatan “tidak mesra” dengan umat Islam.

Terdahulu, Trump mengeluarkan arahan membeku kemasukan pelarian selama 4 bulan, serta melarang warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman memasuki AS sekurang-kurangnya 90 hari.

Arahan terbaru itu mendapat bantahan seluruh dunia, termasuk daripada penduduk AS sendiri.

Rantau Asia Tenggara menjadi medan perebutan pengaruh dengan kehadiran China yang kini menjadi “alternatif” kepada AS selaku kuasa dunia.

Namun, bagi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, perkembangan di Washington tidak mengubah kerjasama tentera Malaysia dan AS.

“Hubungan tidak terjejas. Hubungan kita dengan semua pihak cukup baik dan diplomasi ketenteraan kita di tahap membanggakan.

“Apa yang kita lakukan di Kementerian Pertahanan sekitar 5 tahun ini meletakkan negara di landasan tepat untuk berdepan ketidaktentuan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.

Tentera Malaysia pernah menjalani latihan ketenteraan dengan AS dan China serta beberapa negara lain.

Antara latihan ketenteraan negara dengan AS adalah latihan “Malus Amphex” di Sabah, pada akhir 2015.

Malaysia turut mengadakan latihan bersama tentera China di Paya Indah Wetlands, Dengkil, November lalu dan akan menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi dengan Beijing bagi kerjasama pertahanan lebih fokus pada masa depan, demikian lapor Bernama pada 24 November lalu.

Hishammuddin berkata, antara hala tuju Kementerian Pertahanan adalah diplomasi ketenteraan bagi memastikan kedaulatan dan kedudukan Malaysia tidak terjejas dengan perkembangan terbaru dunia, termasuk di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

“Saya pantau secara dekat hubungan AS dengan Iran yang sekarang ini penuh ketidaktentuan, Timur Tengah dan juga di Laut China Selatan.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/28/donald-trump-sekat-pelarian-warga-7-negara-islam-masuk-as/