Najib: Subsidi pukal diubah subsidi bersasar elak ketirisan

najib-1KUALA SELANGOR: Kerajaan akan mengguna pakai 2 pendekatan baharu dalam mendekati rakyat, iaitu subsidi bersasar dan interaksi tanpa protokol, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, sistem bantuan subsidi bersasar akan menggantikan subsidi secara pukal yang dilaksanakan bagi memastikan tiada pembaziran dan ketirisan dalam sistem pelaksanaannya.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata, kerajaan kini mahu memilih pendekatan yang membolehkan pemimpin dapat berinteraksi dengan rakyat tanpa terikat dengan protokol ketat diamalkan sebelum ini.

“Hari ini pun saya disambut rakyat, tak disambut dengan permaidani merah, bunga manggar tapi disambut rakyat tulus ikhlas dengan semangat berkobar-kobar.

“Inilah yang saya pentingkan, sambutan ikhlas daripada rakyat,” katanya berucap merasmikan Program Jom Bantu Rakyat Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Ijok di Bestari Jaya, hari ini.

Najib berkata, pelaksanaan subsidi secara pukal selama ini turut dinikmati warga asing dan pelancong.

“Kita nak ubah dasar daripada bantuan secara pukal, subsidi pukal kepada bantuan dan subsidi secara bersasar ataupun ‘targeted assistance’ dan ‘targeted subsidy’. Ini kerana kalau bantuan diberi pukal ataupun subsidi pukal, banyak ketirisan dan ketidakadilan berlaku.

“Kalau subsidi minyak, siapa untung, mereka yang ada kereta besar lagi untung, mereka yang jadi pelancong, pekerja asing pun untung.”

Katanya, sekiranya kerajaan dapat berjimat menerusi subsidi minyak, dana yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk bantuan lain yang lebih bersasar dan menguntungkan rakyat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Najib turut menempelak pembangkang yang dilihat sering mengkritik kerajaan setiap kali harga minyak naik, sedangkan peningkatan itu bukan salah kerajaan kerana ia ditentukan pasaran dunia.

Beliau secara sinis berkata, pembangkang membisu apabila kerajaan berjaya meningkatkan harga sawit sehingga RM3,300 setan.

Katanya, kenaikan harga komoditi itu adalah hasil kejayaan beliau ke China Oktober lalu, apabila Beijing setuju meningkatkan pembelian komoditi sawit dari Malaysia.

“Harga sawit naik RM3,300 setan, harga getah pun naik 3 kali ganda. Malah, saya pernah tanya seorang pesara guru yang ada 4 hektar kebun sawit. Dia sekarang dapat pendapatan bersih RM4,000 sebulan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk membangunkan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Sungai Sembilang sebagai hab agro pelancongan utama di negara ini.

Katanya, kawasan Kuala Selangor berpotensi besar dalam industri agro pelancongan yang boleh memberi manfaat bukan hanya nelayan, tetapi juga semua rakyat di kawasan Parlimen itu.

“Kita kena ubah cara berfikir untuk segarkan lagi kawasan kita. Misalnya, saya memberi peruntukan RM1.5 juta untuk tujuan membangunkan Sungai Sembilang (Jeti) sebagai hab nelayan. Apa yang akan berlaku adalah nelayan boleh jadi orang menjual tangkapan ikan sendiri, bukan melalui orang tengah.

“Dengan cara ini pendapatan nelayan meningkat 2 kali ganda.”

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan monumen Transformasi Nasional 2050 (TN50) SK Ijok sebagai simbolik kepada usaha serta visi kerajaan dalam membentuk hala tuju negara bagi tempoh 30 tahun akan datang.

Beliau turut melawat dan memberikan sumbangan barang keperluan asas kepada seorang ibu tunggal, Mariamah Haji Yaakob, 70, di rumahnya di Kampung Jalan Kemajuan, Batu 8, Ijok.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Irmohizam untuk meneliti bantuan yang diperlukan ibu tunggal itu, termasuk bantuan menggantikan zink rumah yang usang.